Surat Terbuka Tun Mahathir Buat Wakil Rakyat UMNO

Mahatir ajak wakil rakyat Umno tebus maruah bangsa, negara


Wahai Wakil Rakyat Umno,
Apakah Yang Berhormat-Yang Berhormat tidak tahu dan tidak sedar akan skandal-skandal yang melibatkan Perdana Menteri yang memburukkan imej Umno dan imej negara?
Jika tidak sedar saya perturunkan di sini sedikit sahaja dari salah-laku Najib supaya Yang Berhormat dapat faham akan betapa seriusnya kerosakan yang dilakukan oleh Najib.
a) Najib menubuh “Dana Kekayaan Negara” dengan meminjam RM42 billion, – sekali gus meningkatkan hutang negara kerana hutang ini dijamin oleh Kerajaan. Tak mungkin syarikat hutang 42,000 kali ganda modal tanpa jaminan.
b) Pelaburan yang dibuat semuanya rugi sehingga tidak dapat bayar faedah pun.
c) Wang yang dipinjam ini sudah hilang sehingga tidak boleh dikesan dengan sah di mana wang ini berada.
d) Tiba-tiba wang sebanyak RM 2.6 billion berada dalam akaun persendirian Najib di Ambank.
e) Agensi-agensi kerajaan Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura, Hong Kong, Luxembourg, United Kingdom, Seychelles dan Emiriah Arab Bersatu sedang menyiasat salahlaku dan rasuah yang melibatkan 1MDB.
f) Switzerland mendakwa berlaku korupsi sebanyak AS$7 billion dalam pengurusan 1MDB.
g) Singapura menangkap seorang pegawai bank yang terlibat dengan salahlaku 1MDB.
h) Malaysia dipandang hina dan menteri kewangannya didakwa sebagai menteri kewangan yang terburuk di Asia.
i) Laporan oleh PAC mencatit akan penipuan besar berlaku dalam 1MDB. Ini diakui oleh CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy.
j) Mesyuarat agong Umno tidak dibenar bincang 1MDB dan RM 2.6 billion yang ada dalam akaun bank Najib.
k) Jika ahli atau pemimpin Umno menyoal berkenaan 1MDB, mereka dipecat. Ahli Umno hanya dibenar sokong apa sahaja yang Najib lakukan. Tidak seperti dahulu tiada siapa boleh menegur atau mencabar Najib sebagai Presiden. Umno tidak ada suara lagi.
Yang Berhormat-Yang Berhormat,
Umno ialah parti keramat yang mengalahkan Malayan Union British, yang memerdekakan Malaya dan Malaysia, yang berjaya membangunkan negara sehingga hampir menjadi negara maju.
Tetapi hari ini nama Umno sudah menjadi begitu buruk, sudah digelak ketawa, dihina dan ditolak oleh sebilangan yang besar orang Melayu dan bukan Melayu di dalam negara.
Semua ini disebabkan oleh Najib dengan kepercayaannya bahawa “Cash is King” iaitu rasuah adalah cara memerintah.
Wahai Yang Berhormat, wakil-wakil rakyat Umno. Tidakkah kamu sayang parti keramat ini yang telah begitu berbakti dan berjasa kepada bangsa, negara dan agama? Dan kepada kamu dan keluarga kamu.
Tidaklah kamu tergerak hati untuk membelakangkan kepentingan diri demi bangsa dan negara?
Segala yang merosakkan Umno dilakukan oleh Datuk Seri Najib.
Selagi ia menjadi perdana menteri pemulihan negara tercinta ini tidak akan dapat dilakukan.
Hanya dengan penyingkiran Najib sahaja baharulah Perlembagaan dan Undang-Undang Negara dikuatkuasakan semula dan Malaysia kembali sebagai negara berdaulat yang dihormati dunia.
Yang Berhormat-Yang Berhormat,
Rakyat memilih Yang Berhormat kerana mereka percaya Yang Berhormat akan menyuarakan dan mempertahankan hak mereka.
Sekarang berjuta-juta rakyat menolak Najib. Percayalah Umno dan BN akan kalah dalam PRU-14.
Rakyat dan anak cucu akan kutuk YB kerana menghancurkan Umno dan membawa malapetaka kepada negara. Tak mungkin apa-apa pemulihan dibuat dari dalam Umno.
Umno sekarang bukan lagi Umno yang ditubuh dahulu. Yang ada hanyalah parti Najib.
Dan ahli serta pemimpin Umno yang menyokong parti Najib ini mengkhianati Umno, bangsa, negara dan agama.
Oleh itu sertailah mereka yang menolak Najib sebagai Perdana Menteri supaya Umno dapat dipulih dan dihormati semula dan maruah bangsa dan negara tertebus.
Dan banyaklah lagi kesalahan dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib.

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD adalah bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun. Tulisan ini pertama kali dinaikkan diblognya - chet.cc