Tentera daripada 20 negara berhimpun di Arab Saudi

Tentera daripada 20 negara berhimpun di Arab Saudi


RIYADH - ARAB SAUDI. Tentera dari 20 negara dilaporkan berhimpun di utara Arab Saudi untuk menyertai latihan ketenteraan yang disifatkan terpenting pernah diadakan di rantau tersebut, menurut agensi berita SPA, kelmarin.

Latihan Thunder of the North itu melibatkan pasukan tentera darat, udara, laut bertujuan menyampaikan mesej jelas bahawa Riyadh dan sekutunya akan bersatu dalam menghadapi sebarang cabaran selain memelihara keamanan serta kestabilan di rantau itu.

Ia turut disertai lima negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan beberapa negara lain seperti Chad, Mesir, Jordan, Maghribi, Pakistan, Senegal, Tunisia serta Malaysia.
Bagaimanapun, SPA tidak memberikan butiran jelas mengenai tarikh sebenar dan tempoh latihan ketenteraan itu akan berlangsung.

Difahamkan, pengumuman itu dibuat selepas Riyadh menghantar pesawat pejuang ke pangkalan tentera udara Incirlik di Turki sebagai langkah untuk meningkatkan kempen serangan udara ke atas militan IS di Syria.
Pada masa ini, Saudi mengetuai kempen ketenteraan menyasarkan kedudukan pemberontak Houthi di Yaman dan negara itu turut menubuhkan pakatan antikeganasan disertai 35 anggota gabungan bertujuan untuk memerangi keganasan di negara Islam.

Khamis lalu, sumber di Saudi memaklumkan negara anggota pakatan antikeganasan akan mengadakan pertemuan di negara itu pada bulan depan.

Sebelum ini, Riyadh memberitahu gabungan tersebut akan turut berkongsi maklumat risikan, memerangi ideologi ganas dan mengerah tentera jika perlu. - al-Arabiya