Kadar denda baru JPJ tidak munasabah


SOLIDARITI Anak Muda Malaysia (SAMM) kesal tindakan pihak berkuasa Jabatan Pengangkutan Jalanraya(JPJ) berhubung dengan kadar baru hukuman lebih berat terhadap pengguna pelekat  cermin gelap atau 'tinted windows'.

Ia menyaksikan kesalahan pertama denda RM2,000 atau penjara 6 bulan dan untuk kesalahan berulang denda RM4,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya sekali. Ia satu hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan.

Mengapa tidak penjarakan pesalah yang menggunakan nombor plat kenderaan tanpa mengikut spesifikasi?

SAMM merasakan bahawa kadar baru yang dikuatkuasakan pada 6 Februari adalah terlalu tinggi berbanding kadar lama iaitu denda RM500 atau penjara 2 minggu dan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara satu bulan.

Kerajaan harus kemuka justifikasi yang jelas mengapa undang-undang baru itu diperkenal. Sedangkan cermin kereta yang digelapkan itu adalah kerana faktor cuaca dan suhu dunia yang meningkat secara rapid.

Menjadi persoalan, mengapa kenderaan rasmi kerajaan, jabatan-jabatan dan VIP dibenarkan  untuk bercermin gelap 0 peratus ketelusan cahaya sedangkan untuk kenderaan biasa tidak dibenarkan? Alasan yang diberikan adalah untuk keselamatan.

Kami rakyat marhaen juga perlu selamat malah sudah banyak laporan polis telah dibuat berkenaan kes pecah cermin atas kes kecurian.

Jangan jadikan poket rakyat sebagai tabung untuk menutup kekurangan kantung dan bebanan hutang negara yang berpunca dari pentadbiran penuh ketirisan.

AMIRUL SYAZWAN

Penyelaras SAMM Kebangsaan

* Ini adalah pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Admin

Random Posts