Penduduk Tumpat berjaga-jaga air mula naik

Penduduk Tumpat berjaga-jaga air mula naik
Air Sungai Golok melimpah dan mula membanjiri kawasan rendah. Foto Sinar Harian

TUMPAT - Air Sungai Golok melimpah dan mula membanjiri kawasan rendah dekat kampung Teluk Jering di sini mengakibatkan jalan ke Kuala Jambu mula dinaiki air.
Tinjauan di jalan Teluk Jering ke Kuala Jambu mendapati air sudah melimpah masuk ke bendang padi dan penempatan penduduk kampung.
Penduduk pinggir Sungai Golok mula mengambil langkah berjaga-jaga  dikhuatiri banjir berikutan paras air semakin meningkat.
Bacaan paras air Sungai Golok di Kuala Jambu setakat jam 4 petang menghampiri paras amaran iaitu pada paras 2.03 meter (paras amaran 2.15).
Sementara itu, penduduk Teluk Jering, Abdullah Mat Yusof berkata, penduduk di kampung Teluk Jering dan Kuala Jambu dalam keadaan berjaga-jaga berikutan air yang sudah melimpah masuk ke kawasan penempatan penduduk.
Menurutnya, penduduk sudah mengalihkan kenderaan ke tempat tinggi kerana dijangka esok jalan ini akan terputus hubungan.
"Apabila air sungai Golok melimpah, dua kampung ini yang paling awal dilanda banjir dan diikuti kampung lain di sepanjang sungai Golok ini, " katanya

Sumber: Sinar Harian