Panas punggung selepas video jadi viral


GEORGETOWN - Dua remaja yang disyaki terlibat dengan kejadian memaki hamun tiga anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ditahan polis di sebuah kedai makanan segera di Bandar Baru Farlim, Ayer Itam di sini sebentar tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kedua-dua remaja berusia 19 dan 25 ditahan kira-kira jam 4 petang.

Menurutnya, kedua-dua suspek berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga bulan dan denda RM1,000.

"Kita akan mengambil keterangan daripada kedua-dua suspek ini dan melengkapkan siasatan sebelum merujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,"katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Semalam, video dua lelaki berkenaan yang memaki hamun tiga anggota penguatkuasa MBPP selepas tayar kenderaan mereka dikunci menjadi viral di laman sosial.

Tindakan mereka yang mengeluarkan kata-kata kesat termasuk menggelar anggota penguatkuasa itu sebagai anjing turut dikecam orang ramai.

Lebih membangkitkan kemarahan apabila salah seorang daripada lelaki berkenaan bertindak melemparkan wang kepada anggota penguatkuasa selepas mereka diarahkan membayar denda sebelum kunci di buka.
Sumber : Sinar Harian



Berikut adalah video yang telah tersebar dalam laman sosial:-