Militan IS penggal tawanan kedua warga Jepun


Militan IS penggal tawanan kedua warga Jepun
Kenji Goto dilihat melutut di sisi seorang lelaki bertopeng dengan loghat British yang menyalahkan kerajaan Jepun. -Gambar fail

TOKYO: Kumpulan militan IS berkata mereka sudah memenggal tawanan kedua warga Jepun, sekali gus mencetuskan kemarahan Tokyo dan Washington.

Dakwaan itu dibuat melalui satu rakaman video yang dimuat naik ke internet.

Bagaimanapun, tiada makluman dibuat mengenai juruterbang Jordan yang turut ditahan dan diancam bunuh.

Di dalam video tersebut, wartawan Kenji Goto dilihat melutut di sisi seorang lelaki bertopeng dengan loghat British yang menyalahkan kerajaan Jepun.

Lelaki berpakaian serba hitam itu kelihatan sama dengan militan IS yang terbabit dalam video serupa sebelum ini.

Goto pula berpakaian berwarna jingga, sama seperti baju tahanan di Guantanamo Bay dan rakaman video pelaksanaan hukuman sebelum ini.

Kumpulan berkenaan menyatakan kepada Perdana Menteri Jepun bahawa pembunuhan Goto adalah akibat keputusan tidak ambil peduli Tokyo.

Rakaman video itu berakhir dengan imej mayat berpakaian jingga dengan kepala yang dipenggal diletakkan di atasnya.

Sementara itu, Abe melahirkan rasa kecewa dengan dakwaan bahawa Goto sudah dibunuh kumpulan IS. Katanya, Tokyo sudah melakukan apa sahaja untuk memastikan Goto dibebaskan.

Pada masa sama, Abe menegaskan Jepun tidak akan memberi tempat kepada keganasan dan sama sekali tidak akan mengalah dengan kumpulan pelampau.

Satu mesyuarat tergempar diadakan bagi mengesahkan kesahihan rakaman video pembunuhan itu.

Goto, wartawan bebas berusia 47 tahun itu, ditahan pada Oktober selepas mengembara ke Syria untuk membantu pembebasan Haruna Yukawa, rakannya yang turut ditahan IS.

Yukawa dilaporkan sudah dibunuh, tetapi pihak berkuasa sehingga kini belum mengesahkan sama ada rakaman video pembunuhannya benar atau sebaliknya.

Video pembunuhan Goto mencetus kemarahan antarabangsa.

Pada masa sama, ia menghantar isyarat kebimbangan dengan nasib seorang lagi tahanan IS iaitu juruterbang warga Jordan Muath Al-Kaseasbeh.

Awal bulan ini, Jordan menawarkan bantuan untuk membebaskan tahanan sebagai tukaran nyawa dengan juruterbang berkenaan.

Ahli keluarga turut sama bersedih dengan perkembangan terbaharu yang menimpa Goto. Menurut abangnya, Junichi Goto, dia tidak menyangka Kenji akan dibunuh secara kejam oleh IS.

Bagaimanapun, Junichi berkata, apa yang berlaku adalah kesudahan yang sukar untuk diterima walaupun sudah banyak dilakukan pelbagai pihak cuba membebaskan adiknya.


Sumber :http://www.astroawani.com/berita-dunia/militan-penggal-tawanan-kedua-warga-jepun-53189?cp