Sirul ke Luar Negara (Australia) Oktober lepas

Sirul  ke Luar Negara (Australia) Oktober lepas


Polis sedang mengesan Koperal Sirul Azhar Umar selepas Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman gantung sampai mati terhadapnya atas tuduhan membunuh Altantuya.

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan Koperal Sirul Azhar Umar telah ke Australia, Oktober tahun lepas.

Perkara ini disahkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh selepas menyemak rekod dengan Jabatan Imigresen Malaysia.

"Setakat ini memang Imigresen sahkan dia ke luar negara iaitu Australia dan dia ke sana bulan sepuluh tahun lepas.

Kita akan bekerjasama dengan Polis Persekutuan Australia kalau dia berada di sana, tetapi kalau dia dah keluar ke mana-mana destinasi lain, kita akan bekerjasama dengan Interpol...untuk melaksanakan tangkapan terhadapnya, kita memang akan minta kerjasama polis antarabangsa," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Difahamkan polis akan mengeluarkan 'Notis Merah' kepada Polis Antarabangsa (Interpol) untuk membantu mengesan Sirul Azhar dan permohonan ekstradisi akan dibuat kepada negara berkenaan, sebelum membawanya pulang mengikut prosedur undang-undang sedia ada.   

Mengikut portal Jabatan Peguam Negara Malaysia, Malaysia telah memuktamadkan triti ekstradisi dengan Australia yang berkuatkuasa sejak 28 Disember 2006.

Sirul Azhar, yang merupakan tertuduh kedua kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, tidak hadir ke mahkamah semalam kerana berada di luar negara dan susulan itu Mahkamah Persekutuan mengeluarkan waran tangkap terhadapnya.

Mahkamah Persekutuan semalam menjatuhkan hukuman mati ke atas kedua-dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah Hadri selepas didapati bersalah membunuh Altantuya sembilan tahun lepas.     

Mahkamah Persekutuan juga sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan kedua-dua mereka.

Mahkamah Persekutuan mendapati Mahkamah Rayuan terkhilaf dalam keputusannya.

Pada 9 April 2009 Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman mati ke atas Sirul Azhar dan tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri selepas didapati bersalah membunuh Altantuya sembilan tahun lalu. - Bernama