Kerana Kencing Manusia Diazab Kelak

Kerana Kencing Manusia Diazab Kelak

Kerana Kencing

Dek kerana air kencing yang setitik, kita mungkin tersiksa nanti. Perkara remeh dan terpencil, tapi sekiranya diabaikan, kelak akan mendatangkan mudharat. Jika kita berfikir secara logik, tak kan kerana hanya setitik air kencing, kita boleh mendapat siksaan yang berat didalam kubur?.
Tapi sesungguhnya, air kencing tetap air kencing. Ia adalah najis, dan najis sekiranya ada ketika kita melakukan amal ibadah, segala amalan kita itu boleh menjadi tidak sah. Jadi, buat penatlah bersolat sekiranya diri kita ini masih belum suci sesucinya daripada air kencing.
Dapatkah kita bayangkan jika kita berterusan memandang enteng isu membersihkan sesuci-sucinya air kencing ini, hingga masih terdapat air kencing setiap kali kita pergi qada hajat, dan selepas itu kita terus melakukan amal ibadah?. Cuba kita renungkan sejenak.
Janganlah kita memandang remeh isu ini. Ambillah perhatian yang serius!.
Sesungguhnya, ada peringatan khusus daripada Rasulullah (SAW) buat kita berkenaan isu air kencing. Antaranya, seperti hadith berikut yang bermaksud:
“Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W. bersabda: Bersucilah kamu daripada kencing kerana kebanyakkan yang diazab adalah dengan sebabnya.” (HR al-DarQutni)
Serta hadith berikut yang membawa maksud yang hampir sama:
“Kebanyakan azab kubur itu adalah lantaran kencing.”
(HR al-hakim, Ahmad dan Ibn Majah)
.
Di dalam hadith yang lain pula berbunyi:
Daripada Ibnu Abbas Radhiallahu’anhu berkata : “Suatu kali Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam melewati kebun di antara kebun-kebun di Madinah. Tiba-tiba beliau mendengar suara dua orang yang sedang disiksa di dalam kuburnya. Lalu Nabi Shallallahu’alaihi wasallam bersabda:
“Sungguhnya kedua mayat ini sedang diazab. Bukanlah keduanya diazab sebab dosa yang terlalu besar. Adapun salah seorangnya tidak bersuci dari kencing. Dan seorang lagi kerana berjalan kesana kemari mengadu domba. Maka Nabi S.A.W meminta pelepah tamar yang basah lalu dipatahkan kepada dua bahagian dan dipacakkan kepada dua buah kubur tersebut. Dan Nabi saw pun bersabda : Mudah-mudahan diringankan azab dari kedua mayat ini selama pelepah ini belum kering.” (Hadith riwayat Al-Bukhari)

Bagaimana Boleh Terkena Air Kencing?

Kadang kala, ada antara kita memilih untuk kencing berdiri di tandas berdiri (khususnya kaum adam). Masuk sahaja tandas, akibat tidak tahan, terus kita menuju ke tandas berdiri. Mungkin pada fikiran segelintir daripada kita, ia adalah lebih mudah kerana hanya perlu membuka zip seluar dan terus pancut.
Tapi ketahuilah, cara sebegini boleh menyebabkan titik-titik kecil air kencing tersebut terpercik balik pada seluar kita lantaran dekatnya tempat takungan tandas tersebut dengan kita.
Tandas Berdiri - Isu aurat & suci
Tandas Berdiri - Isu aurat & suci
“Tetapi, mungkin ada yang pandai sehingga dapat mengelak daripada air kencing tersebut terpercik balik kepada seluar.” Bisik hati saya untuk bersangka baik dengan mereka yang kencing berdiri. (Tapi sehingga sekarang saya masih tak tahu bagaimana nak memastikan air kencing tidak terpercik kepada kita ketika menggunakan tandas berdiri).
Tapi, bila beristinjak, golongan ini hanya sekadar menakung sedikit air yang mengalir di bahagian atas tandas berdiri dan menyapu pada kemaluan mereka (Kadang-kadang takda paip pun). Seterusnya, terus zip seluar dan berlalu keluar.
Saya bersangka baik lagi, mungkin mereka dah betul-betul yakin dengan istinjak mereka. Tapi, bagaimana pula jika ada sebahagian daripada kita yang air kencingnya belum habis mengalir keluar (kalau ikut biologi, akan terdapat baki air kencing di dalam kemaluan sekiranya tidak diurus dengan betul), dan akhirnya mengalir setitik terkena seluar selepas kita bergerak dan melakukan aktiviti?.
Bagaimana pula sekiranya kita membuang air di dalam tempat tertutup? Kita masih belum terlepas daripada masalah tersebut. Tandas-tandas awam di negara kita, kebanyakannya berada dalam keadaan yang kotor. Andai tidak terpercik najis sendiri, kemungkinan kita terkena najis yang ditinggalkan orang lain masih ada.
Manusia punyai pelbagai ragam dan perangai. Jangan berasa hairan sekiranya terjumpa dengan air kencing dan najis yang ditinggalkan tanpa dibasuh. Ada juga najis yang terdapat di atas simen di dalam tandas, dan dibiarkan begitu saja. Malah, ada yang sengaja membuang air di dinding-dinding tandas.
Paip getah di dalam tandas, mungkin juga terkena dengan najis. Tangan yang memegang kemaluan dan membasuh najis, kemudian memegang paip getah tersebut. Jika hendak dikira semuanya, memang berkemungkinan terdapat najis di mana-mana sahaja di dalam tandas tersebut.
Jadi, inilah diantara perkara penting yang perlu kita titik beratkan ketika masuk ke dalam tandas, terutamanya tandas awam yang memerlukan kita berkongsi dengan orang ramai.

Tukar Seluar Kepada Kain Pelekat

“Ah..takpe nanti tukarlah seluar yang kotor ni kepada kain pelekat. Kan surau Malaysia sekarang banyak orang sedekah kain pelekat.” getus hati saya ketika bersangka baik buat mereka yang mungkin sudah kotor seluarnya dek kerana air kencing.
Tapi, timbul pulak persoalan lain. Memang terdapat di antara kita yang menukar seluar kepada kain pelekat setiap kali ingin menunaikan solat. Tapi, sekiranya, kemaluan kita tidak disuci dan diistinjak dengan betul, sucikah kita untuk melakukan solat?. Pernahkah kita terfikir sebegini?.

Tips Elak Terkena Air Kencing & Najis

Berikut merupakan antara pendapat saya bagaimana menghindarkan diri kita daripada terkena air kencing & najis ketika kita pergi qada’ hajat, terutamanya di tandas awam:
1.Jirus sekeliling tempat qada’ hajat kita termasuk di kepala paip. Pastikan jangan sampai terpercik terkena kita ketika kita menjirus air.
2.Sebaiknya, pilihlah tandas mangkuk atau tandas duduk kerana kebiasannya ia dibina untuk digunakan secara tertutup. Selain itu, ia juga membolehkan kita mengamalkan sunnah Rasulullah (SAW) dimana baginda kebiasaanya akan qada’ hajat dalam keadaan bertinggung (duduk).
3.Pastikan kaki seluar telah dilipat setinggi mungkin bagi menghindar seluar daripada terkena percikan.
4.Sesudah selesai qada hajat, sebaik-baiknya kita berdehem dan beristibra’ (mengetus) sebanyak tiga kali.
Tetapi janganlah terlalu banyak beristibra’ untuk menghindar perasaan was-was sehingga perkara ini merumitkannya. Jika ia merasakan ada sedikit basah di kemaluan, hendaklah ia menganggap itu sisa dari air. Ketahuilah bahawa orang yang paling ringan istibranya dikira paling pandai dalam ilmu fiqhnya, sebab waswas itu menunjukkan ilmu fiqhnya cetek.
5.Bersucilah dengan air atau mana-mana bahan yang dibenarkan dalam istinjak sehingga benar-benar yakin suci.
5.Cuci kaki dan tempat kita qada hajat untuk memastikan kebersihan dan kemudahan pada orang lain yang akan menggunakan tandas itu.
5.Sekiranya, terkena juga air kencing pada pakaian kita, gantikan pakaian (tukar seluar kepada kain pelekat contohnya) itu setiap kali hendak menunaikan solat.

Kesimpulan

Jadi, saya menyeru kepada sekalian agar sentiasa memandang serius akan isu ini. Perkara ini tidak boleh dibawa main-main kerana ia meliputi isu ibadah terutamanya solat yang memerlukan kita suci daripada najis. Hatta, darah dan nanah adalah najis yang perlu disuci dan dibersihkan sebelum solat, ini kan pula air kencing.
Saya berharap, persoalan-persoalan yang saya timbulkan di atas dapat dijadikan peringatan buat diri saya dan orang lain.
Bukanlah niat saya ingin menyebabkan kita berada sentiasa dalam keadaan was-was atau ragu-ragu samada kita suci atau pun tidak daripada air kencing, tetapi sekadar pandangan saya bagaimana kita boleh berhati-hati dan menghindarkan diri daripada terkena air kencing ketika qada’ hajat.
Rujukan:
1.http://www.ustaznoramin.com/2011/03/istinjak-atau-membersihkan-kemaluan.html
2.http://affanruslan.com/kencing-kencing/
3.http://fiqh-am.blogspot.com/2008/06/bersuci-istinjak.html
4.http://hisyamonline.blogspot.com/2011/03/kencing-adab-dan-azab.html
5.http://dady-rahman.blogspot.com/2011/05/ramai-umatku-masuk-neraka-kerana-air.html
6.http://ahlulbait.blogdrive.com/archive/195.html
Source : eblog.yeopmi.com