Di Manakah Dajjal Al-Masih?

Berdasarkan kepada kisah sahabat Nabi Muhammad SAW mengatakan Dajjal al-Masih dikatakan 'menghuni' di sebuah pulau.
HARI ini ramai yang gemar berkongsi khabar angin mengenai sesuatu yang tidak pasti dan sahih. Terutama khabar angin mengenai dajjal.

Ada sahaja khabar angin perihal dajjal dalam versi yang pelbagai. Ada yang mengandaikan dajjal itu seorang manusia, sesebuah negara, atau sebuah lambang adalah dajjal. Ada juga yang mengatakan dajjal akan dilahirkan, telah dilahirkan mahupun sedang dilahirkan.

Persoalannya, adakah hal ini benar?. Siapa dajjal dan bagaimana dajjal yang sebenarnya. Maka kembalilah kita kepada rujukan yang sahih tanpa was-was, iaitu al-Quran dan Sunnah.


Peringatan Nabi SAW

Diriwayatkan oleh Abu Salamah, beliau berkata: "Aku pernah mendengar daripada Abu Hurairah RA berkata: "Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah kamu aku bercerita mengenai dajjal sebagai suatu perbicaraan yang belum pernah seorang nabi menceritakan kepada kaumnya. Sesungguhnya dia itu buta sebelah matanya dan dia akan datang membawa seperti syurga dan neraka. Maka apa yang dikatakan syurga, itulah neraka. Dan sesungguhnya aku memberi peringatan kepada kamu dengannya, sebagaimana Nabi Nuh AS memperingati kaumnya. (Riwayat Muslim)

Diriwayatkan daripada Aisyah, Nabi SAW selalu berdoa dalam sembahyang Baginda yang bermaksud: "Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada seksa kubur dan aku berlindung dengan-Mu daripada dugaan dajjal dan aku berlindung daripada ujian hidup dan ujian mati. Ya ALLAH, aku berlindung dengan-Mu daripada hutang dan dosa." (Riwayat al-Jama’ah kecuali al-Bukhari)
 
Dajjal adalah makhluk

Dajjal yang Nabi Muhammad SAW suruh kita berdoa minta perlindungan tersebut adalah satu makhluk yang berzat dan berjisim seperti manusia. Yang akan keluar pada akhir zaman dan diberikan kemampuan kepadanya untuk beberapa perkara luar biasa.

Antaranya menghidupkan orang mati yang sudah dibunuhnya, dimilikinya kehidupan dengan segala kemegahannya di dunia, kemakmuran, syurga, neraka, diperintahkan turunnya hujan, diperintahkan untuk tumbuhnya subur, maka tumbuhlah bumi dengan tumbuh-tumbuhan.

Jelaslah apa yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis, dajjal itu adalah makhluk seperti manusia, berbadan besar, pendek, berkaki bengkok,  buta sebelah matanya, mata kirinya tidak nampak jelas dan yang sebelah kanannya kelihatan jelas seperti buah angur yang terapung, antara kedua matanya tertulis huruf  “kaf” “fa” “ro”, berambut lebat dan kerinting.

Akan tetapi semua itu terjadi kerana ALLAH. Kesudahannya, lelaki yang bernama dajjal itu ditewaskan dengan turunnya Nabi Isa AS lalu membunuhnya.


Kisah Tamim Ad-Dari & dajjal

Kisah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang bertemu dajjal ketika sesat dalam pelayaran di lautan selama sebulan bersama 30 orang daripada Bani Lakhm dan Bani Judzam, lalu berlabuh di sebuah pulau.

Di pulau tersebut mereka didatangi seekor binatang yang banyak bulunya sehinggakan mereka sendiri tidak dapat membezakan antara bahagian depan dan belakang. Binatang tersebut mengatakan dia adalah mata-mata (jasasah).

Lalu haiwan itu berkata: "Wahai kaum pergilah kalian kepada orang yang berada dalam gua (dajjal), kerana dia merindukan berita dan kamu."

Tamim Ad-Dari dan sahabatnya lalu berangkat dan masuk ke gua. Di dalamnya ada seorang manusia yang paling besar badannya dan diikat dengan rantai yang kuat. Kedua tangan dan lehernya disatukan dan diikat.

Lalu mereka bertanya: "Makhluk apakah kamu ini" dan dajjal menjawab: "Kamu mengetahui perihalku, kini beritahu kepadaku, siapakah kamu ini?." dan mereka menjawab: "Kami adalah manusia dari Arab."

Kemudian dajjal mula bertanya kepada mereka: "Beritahu kepadaku mengenai kurma Baisan." Mereka menjawab: "Sesungguhnya kurma itu hampir tidak akan berbuah."

Lalu si dajjal bertanya lagi: "Beritahu kepadaku tentang Tasik Thabaniyyah. Apakah tasik itu masih berair?." Jawab mereka: "Ya tasik itu masih banyak airnya. Sesungguhnya air tasik itu hampir habis."

Si dajjal berkata lagi: "Beritahu kepadaku tentang mata air Zughar." Jawab mereka: "Apa yang engkau hendak tanyakan? Apakah mata air itu masih memancarkan air? Dan apakah penduduknya masih bercucuk tanam dari mata air itu?" Dan jawab dajjal:

"Ya, mata air itu masih memancarkan banyak air dan penduduknya masih bercucuk tanam dari air berkenaan,"

Kata dajjal: "Terangkan kepadaku tentang nabi yang diutus kepada orang ramai adalah buta huruf, apa yang dilakukannya? Dia telah keluar dari Makkah menuju ke Yathrib." Apakah orang Arab memeranginya?, "Ya" jawab mereka,

Soal dajjal lagi: "Bagaimana caranya dia memperlakukan mereka? Dia telah menundukkan orang Arab terdekatnya. Adakah demikian?". Mereka menjawab: "Lebih baik bagi mereka untuk mengikutnya.”

Lalu dajjal berkata: "Aku akan memberitahu kepada kamu mengenai diriku. Aku ini adalah al-Masih. Aku hampir diizinkan keluar, maka aku akan keluar. Lalu aku akan berjalan di muka bumi. Aku tidak melalui sesuatu kampung melainkan aku tinggal selama 40 malam kecuali kota Makkah dan Thaibah (Madinah). Kedua kota itu diharamkan atasku. Setiap kali aku memasuki salah satu kota itu, aku dihadang malaikat yang memegang pedang untuk memenggalku. Di setiap celah kedua kota itu dijaga oleh malaikat."

Sesungguhnya cerita Tamim Ad-Dari ini diceritakan oleh Fatimah daripada Rasulullah SAW. (Riwayat Muslim)

Lalu Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesunguhnya cerita Tamim itu sesuai dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu juga mengenai kota Makkah dan Madinah. Ketahuilah sesungguhnya dajjal itu berada di laut Syam atau di laut Yaman, bukan dari arah Timur, bukan dari arah Timur, bukan dari arah Timur." (Riwayat Muslim)


Fitnah dajjal

Zaman dajjal adalah zaman fitnah yang besar, ramai orang yang beriman pada pagi hari kemudian pada petangnya menjadi kafir. Hal ini menunjukkan betapa hebat godaan dan fitnah dajjal melanda kita.

Pada saat itu, kita yang kuat iman kepada ALLAH berasakan menjaga keimanan tersebut seperti menggenggam bara api yang panas dan sangat berat.

Maka ramailah yang melarikan diri ke hutan dan gunung untuk menjaga diri, akidah dan iman mereka daripada godaan dan fitnah dajjal. "Saat itu manusia benar-benar melarikan diri dari dajjal ke arah gunung. (Riwayat Muslim)

Semasa kedatangan dajjal manusia lebih memilih untuk lari menyelamatkan diri daripada menghadapinya kerana dikhuatiri diri tidak mampu menjaga akidah dan keimanan terhadap ALLAH. Kerana dajjal akan menganiaya mereka yang ingkar kepadanya.


Surah al-Kahfi

Daripada Abu Darda’, sesunguhnya Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesiapa yang menghafal sepuluh ayat daripada Surah al-Khafi, pasti terlindung daripada dajjal." (Riwayat Muslim)

Adapun untuk menyelamatkan diri daripada fitnah dajjal adalah menetapkan kesabaran dan membaca sepuluh ayat pertama daripada Surah al-Khafi.

"Sesiapa antara kamu (yang hidup sampai) mendapati dajjal, hendaklah dibaca permulaannya Surah Al-Kahfi." (Riwayat Muslim)


Dajjal ujian ALLAH

Seluruh peristiwa yang menyalahi adat yang dilakukan dajjal itu bukan kerana kuasa dajjal. Melainkan kerana kekuasaan dan kehendak ALLAH untuk menguji kekuatan iman hamba-Nya.

ALLAH menciptakan dajjal sebagai makhluk penggoda dan menyesatkan umat yang beriman. Jika umat-Nya benar-benar teguh imannya, dia tidak mudah goyah akidahnya walaupun dirinya disakiti, dianiaya, difitnah bahkan dibunuh. Dia tetap teguh dengan keimanan dan ketaatannya kepada ALLAH SWT.

Segala kemampuan yang dimiliki oleh dajjal itu bersifat istidraj, bukan mukjizat atau bukan karamah. Kerana jelas dajjal itu adalah kafir yang menyesatkan, bukan nabi dan bukan orang yang soleh.

Akan tetapi semua itu terjadi kerana ALLAH. Kesudahannya, lelaki yang bernama dajjal itu ditewaskan dengan turunnya Nabi Isa AS dan membunuhnya.


Benteng fitnah dajjal

Nabi Muhammad SAW mengingatkan  umat Islam agar berwaspada dengan godaan dan fitnah dajjal di akhir zaman kelak. Antaranya:

- Memohon pertolongan daripada ALLAH SWT dengan perbanyakkan doa pelindung daripada fitnah dajjal ketika tasyahhadud akhir dalam solat.
- Menghafal sepuluh ayat pertama Surah al-Kahfi. Hendaklah menjauhkan diri daripada dajjal dan tidak sengaja mendekatinya. Hendaklah dia berusaha bermukim di Makkah dan Madinah.

Sumber- Sinar Harian

Ciri-ciri Orang Fasik

Ciri-ciri Orang Fasik



Soalan:
Bolehkah ustaz perjelaskan cirri-ciri orang fasik?

Jawapan Ustaz Azhar Idrus:   
      
Orang fasik ialah mereka yang berbuat dosa-dosa besar seperti tidak solat, minum arak atau berjudi walau pun sekali. Orang fasik kekal melakukan dosa-dosa kecil seperti memakai emas bagi lelaki.

Orang fasik adalah seorang muslim yang secara sedar melanggar ajaran Allah (Islam) atau dengan kata lain orang tersebut percaya akan adanya Allah, percaya akan kebenaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tetapi dalam tindak perbuatannya mereka mengingkari terhadap Allah SWT dan hukumNya, selalu berbuat kerosakan dan kemaksiatan.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

“Orang fasik adalah orang yang melanggar perjanjian itu teguh, dan memutuskan apa yang diperintahkan Allah (kepada mereka) untuk menghubungkannya dan membuat kerosakan dimuka bumi. Mereka itulah orang yang rugi” (Surah Al Baqarah ayat 27)

Allah SWT memberi peringatan kepada orang Islam agar jangan sekali-kali bertindak seperti orang yang lupa diri di mana Allah SWT menyifatkan mereka sebagai orang fasik iaitu orang yang suka berbuat dosa dan kejahatan serta derhaka kepada Allah SWT.
Dalam hal ini, Allah SWT berfirman dalam surah al-Hasyr, ayat 19 yang bermaksud: 
“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang yang fasik lagi derhaka.”

Dengan lain perkataan, istilah fasik ditujukan kepada mereka yang banyak melakukan dosa, baik dosanya kepada Tuhannya atau dosanya kepada sesama manusia.

Firman Allah SWT maksudnya : 
“Dalam al-Quran terdapat celaan yang amat keras terhadap mereka yang tidak menerapkan hukum berdasarkan hukum yang diturunkan oleh Allah S.W.T.  dalam ayat ke 47 surah al-Maidah pula mereka dicela sebagai orang fasik.

Memang benar, terdapat celaan yang keras bagi mereka yang tidak menerapkan hukum selari dengan hukum Allah S.W.T.  
Allah S.W.T.  telah berfirman:

فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ

“Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. (Surah al-Maidah ayat 47)

Siapakan golongan yang termasuk dikalangan orang-orang fasik?

1. Seorang pemimpin tidak mahu melaksanakan hukum-hukum Allah SWT walaupun dia berkemapuan dan berkuasa untuk melaksanakannya. (jika dia masih percaya hukum-hukum Allah SWT adalah yang paling baik tetapi tidak mahu melaksanakannya dia jadi fasik tetapi jika dia yakin bahawa hukum-hukum Allah SWT tidak sesuai dilaksanakan dan mempertikaikannya maka dia jatuh murtad)
Firman Allah SWT maksudnya : “Dan barangsiapa yang tidak berhukum menurut apa yang diturunkan oleh Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik”. 
(Surah al-Maidah ayat 47)

2. Suka melakukan dosa-dosa besar dan maksiat seperti derhaka kepada kedua ibu bapa, berzina, minum arak. berjudi, melakukan sihir dan membunuh manusia tanpa hak, derhaka (nusyuz) isteri kepada suami dan tidak menutup aurat.

3. Tidak melakukan kewajipan kepada Allah SWT seperti meninggalkan solat, meninggalkan puasa Ramadan, tidak mahu membayar zakat dan tidak mahu mengerjakan haji (walaupun berkemampuan)
4. Suka mengambil harta secara haram  seperti mencuri, mengambil rasuah, makan riba dan makan harta anak yatim dan merampas hak orang lain secara penipuan.

5. Suka mengumpat, membuat fitnah, menuduh wanita atau lelaki yang baik berzina dengan tidak membawa 4 saksi, mengadu domba, suka bersumpah palsu dan menjadi saksi palsu dimahkamah.

Firman Allah S.W.T maksudnya: ”Dan orang-orang yang menuduh wanita-wanita yang baik-baik (berbuat zina) dan mereka tidak mendatang 4 orang saksi, maka deralah mereka(yang menuduh itu) delapan puluh kali dera, dan janganlah kamu terima kesaksian mereka buat selama-lama nya. Dan mereka itulah orang-orang yang fasik, kecuali orang yang bertaubat sesudahnya itu dan memperbaiki (dirinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. 
(Surah an-Nuur ayat 4-5).

6. Berkekalan dengan melakukan dosa-dosa kecil . Dosa kecil yang menjadi besar jika dilakukan terus menerus. Menurut Imam Hasan al-Basri, tidak ada dosa kecil apabila dilakukan dengan terus menerus dan tidak ada dosa besar apabila disertai dengan istighfar.

Allah SWT  berfirman, maksudnya:
 “Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui.” (Surah Ali Imran ayat 135)

Mengenai tindakan sesetengah di antara kita yang menganggap remeh dosa, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: 

“Sesungguhnya seorang mukmin dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, yang selalu khuatir tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat di hidungnya, maka dia usir begitu saja.” 
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam Islam orang fasik tidak dibenarkan melaksanakan beberapa tugas seperti dibawah :

1. Tidak layak menjadi khalifah atau pemimpin negara.
(Orang mukmin perlu pastikan pemimpin yang ingin dipilih tidak mempunyai ciri-ciri orang fasik)

2. Tidak layak menjadi mufti, hakim, qadi atau juru nikah.

3. Tidak layak menjadi saksi dalam hukum hudud, saksi nikah dan saksi perjanjian muamalah dalam Islam.

4. Tidak layak menjadi wali nikah (qadi /juru nikah perlu mencari wali lain yang bersesuaian menggantikan wali yang fasik)

5. Tidak layak menjadi imam solat berjemaah

Apakah kedudukan orang fasik di hari akhirat?
Sekiranya seseorang mempunyai ciri-ciri orang fasik dan dia tidak bertaubat kepada Allah SWT dan tidak minta maaf sesama manusia di atas perbuatan zalim dan kejahatannya sesama manusia ketika di dunia maka dia akan dimasukkan kedalam neraka Jahanam. Neraka Jahanam adalah seburuk-buruk tempat kembali.

Firman Allah SWT maksudnya : 
”Dan adapun orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka adalah neraka.” 
(Surah as-Sajdah ayat 20)

Jika terdapat pada diri kita ciri-ciri orang fasik maka janganlah bertangguh-tangguh lagi teruskanlah bertaubat meminta ampun kepada Allah SWT semoga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita yang telah lalu.

Daripada Anas bin Malik r.a katanya : ”Aku mendengar Rasulullah SAW  bersabda yang bermaksud: Allah telah berfirman: ‘Wahai anak Adam! Sesungguhnya sebagaimana kamu meminta dan berharap kepada-Ku, maka Aku akan mengampuni segala dosa yang telah kamu lakukan dan Aku tidak pedulikannya lagi.’

‘Wahai anak Adam! Sekiranya dosamu setinggi langit, kemudian kamu memohon ampun kepada-Ku, nescaya Aku mengampuni dosamu.’

‘Wahai anak Adam! Jika kamu datang kepada-Ku dengan kesalahan sepadat isi bumi. Kemudian kamu menemui Aku di akhirat dalam keadaan kamu tidak menyengutukan-Ku dengan yang lain, nescaya Aku datang kepadamu dengan keampunan sepenuh bumi pula.’
(Hadis Riwayat Tarmizi)