IKTIBAR!! Azab awal Jenazah Orang yang Menukar Jantina.

SOALAN: Ustaz, Saya mempunyai seorang abang yang berperwatakan agak lembut. Ketika berusia 22 tahun, dia merantau ke Kuala Lumpur. Selepas enam tahun di kota raya, dia telah jatuh sakit dan terpaksa dibawa pulang ke kampung untuk berubat. Akhirnya Dia meninggal dunia semasa proses rawatan masih berjalan. Apa yang menjadi masalah pada waktu itu ialah keadaan abang saya yang telah bertukar bentuk fizikal (berambut panjang, bercukur bulu kening, mempunyai payu dara dan alat kelamin wanita). Menjadi persoalan bagaimana kami ingin menguruskan jenazahnya memandangkan Imam yang dipanggil tidak mahu menguruskan jenazahnya. Adakah betul dengan tindakan Imam tersebut. Harap ustaz dapat jelaskan.

 
gambar hiasan - google


JAWAPAN: Sebelum saya huraikan dengan panjang lebar, kita tengok dahulu apa pandangan Islam dalam hukum menukar jantina. Hukum menukar jantina adalah haram dan berdosa kecualilah dilahirkan dengan dua alat kelamin atau alat ke lamin yang tidak jelas (khunsa).

Dalam kes ini, pembedahan boleh dilakukan dengan nasihat doktor pakar berdasarkan mana satu jantina yang lebih dominan (kecenderungan) seksnya. Sekiranya dia lahir secara normal dan mempunyai alat jantina yang jelas, haram menukarnya sesuka hati kerana Allah SWT telah menciptanya dengan sempurna. Jika berlaku juga pembedahan, maka setelah kematiannya, dia akan diselenggarakan menurut pendaftarannya di dalam kad pengenalan atau surat beranak. Jika termaktub lelaki, walaupun jantinanya telah ditukar, maka dia akan kembali kepada hukum asalnya sebagai seorang lelaki. 
   
gambar hiasan-google


Abu Daud meriwayatkan kata-kata Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w melaknat kaum lelaki yang memakai apa yang dipakai oleh kaum wanita dan juga kaum wanita yang memakai apa yang dipakai oleh kaum lelaki.

Sebak dan sedih juga apabila saya membaca soalan yang dikemukakan ini kerana spontan telah mengembalikan nostalgia lama saya. Saya pernah merasai pengalaman menguruskan jenazah sebegitu beberapa tahun lalu. Kebetulan, ada ahli keluarga si mati yang mengenali saya. Saya telah dipanggil oleh keluarga tersebut untuk membantu imam yang bertanggungjawab dalam pengurusan jenazah di kampung tersebut.

Masalahnya memang sama dengan masalah yang disebutkan, malah imam tersebut juga berperangai sama dengan imam yang saudara alami. Sikapnya begitu menguji kesabaran saya kerana tidak henti-henti membebel dan mengomel pelbagai tohmahan yang mengaibkan keadaan jenazah.

Sewajarnya, Imam tidak boleh mengaibkan keadaan jenazah kerana sikap sebegitu telah lari daripada ciri-ciri yang sepatutnya ada pada seorang pengendali jenazah. Dosa yang dilakukan si mati semasa hidupnya, biarlah Allah SWT yang tentukan. Kita yang hidup ini, jalankanlah tanggungjawab menunaikan fardu kifayah dengan sebaiknya.

Ingatlah… Islam adalah agama yang mementingkan hubungan persaudaraan sesama Islam baik dalam keadaan susah atau senang. Sikap yang ditunjukkan oleh imam itu amat dikesali kerana akan mengundang pelbagai fitnah oleh masyarakat sekeliling terhadap keluarga si mati. Oleh kerana itulah pembelajaran ilmu agama amat penting. Sesungguhnya, ilmu Allah ini amat luas dan banyak untuk dipelajari. Semoga Allah mengampunkan dosa si mati.

Sememangnya, tidak dinafikan bahawa terdapat segolongan lelaki yang diciptakan Allah dengan sifat lembut seperti wanita, tapi ada juga di kalangan mereka yang berumah tangga dan dianugerahkan zuriat. Namun diingatkan, ia bukanlah tiket untuk golongan ini menukar jantinanya daripada seorang lelaki kepada wanita dengan cara melakukan pembedahan membuang zakar dan membentuk kemaluannya sebagai faraj wanita serta melakukan suntikan hormon untuk membentuk sepasang payudara. Hukumnya adalah haram. Amalan sebegini amat dilarang di dalam Islam kerana ia termasuk mengubah ciptaan Allah. 
 


Tidakkah kita berasa gerun dengan perkataan haram? Setiap perbuatan haram akan mengundang dosa dan balasannya di akhirat nanti ialah api neraka yang membakar-bakar. Hukuman di akhirat adalah berbentuk selama-lamanya dan tiada penghujung. Bayangkanlah jika kita diseksa dalam api neraka yang panas membakar tanpa henti. Jika tangan tercurah air panas sedikit pun tidak tertahan seksaannya, apatah lagi selama-lamanya.

Renung-renungkanlah wahai saudaraku Saya selaku seorang pendakwah tidaklah sesekali berniat menghina golongan yang menukar dan mengubah ciptaan Allah ini, kerana mereka adalah orang ‘sakit’ yang memerlukan bantuan perubatan secara kerohanian. Mereka perlu dibimbing dan diberi motivasi agar sentiasa mengingati Allah dan agama Islam (bagi mereka yang beragama Islam).

Buat mereka yang telah terlajak menukar jantinanya, insaflah dan bertaubatlah. Sedarlah… masih ada kesempatan untuk kalian bertaubat sebelun Allah menjemput pulang bertemu dengan-Nya. Sebagai rumusan, apa yang boleh saya simpulkan ialah setiap perkara yang Allah ciptakan, tentu ada hikmah di sebaliknya. Sesungguhnya, Allah itu Maha Mengetahui daripada sekalian makhluk yang ada di muka bumi ini.