Ada Apa Dengan Cabaran Baldi Ais??

Cabaran Baldi Ais atau Ice Bucket Challenge kini menjadi trend di seluruh dunia.Namun dalam kita tak sedar, Cabaran Baldi Ais sebenarnya boleh mendatangkan risiko kepada mereka yang menghidap tekanan darah tinggi.

 
Pengkaji Kesihatan Awam, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Madya Dr Zaleha Md Isa berkata, aktiviti sebegini perlu dielakkan bagi golongan tersebut.
"Kajian menunjukkan mereka yang mempunyai darah tinggi boleh mendapat risiko ekoran menyimbah ais ke badan mereka. Perubahan suhu badan secara mendadak akibat perbuatan ini boleh meningkatkan tekanan darah dan menjadi lebih teruk," katanya kepada Bernama.
  
Beliau mencadangkan ujian klinikal dilakukan bagi mengesan kesannya sebelum sebarang acara ini dianjurkan.

"Di United Kingdom, dilaporkan seorang remaja meninggal apabila dia melakukan cabaran dengan terjun ke dalam air," tambahnya.
Namun Dr Zaleha berkata, Cabaran Baldi Ais adalah baik kerana ia mendatangkan kesedaran terhadap penyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) dan ia dilakukan bagi memungut derma untuk tujuan tersebut. - Bernama

~sumber : Sinar Harian