SEMASA: Bisikan suara wanita Isyarat Isteri Maut dalam kemalangan.

 Seorang suami yang juga bapa kepada empat anak kecil, Azlin Ahmad, 32, tidak menyangka bisikan suara wanita yang didengarinya ketika azan Zuhur berkumandang adalah isyarat pemergian isterinya buat selamanya. Beliau turut berasa seakan dihempap sesuatu yang berat ketika terlelap selepas solat sunat dua rakaat seterusnya dikejutkan dengan jeritan rakan yang membawa berita kematian isteri tercinta, Siti Fatimah Jamaludin, 27.

“Masa  azan berkumandang saya terasa sesuatu macam terdengar suara isteri memanggil dan lepas solat sunat dua rakat saya terlelap terasa macam kena hempap lalu tersedar kawan datang menjerit panggil saya.

“Dia kata sabar, isteri kau dah tak ada. Tapi masa itu saya boleh gelak lagi dan cakap dengan dia jangan main-main, lepas tu dia tegaskan mengatakan isteri saya dah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) semalam.

Menurutnya, setelah itu dia bergegas ke tempat kejadian dan mendakap mayat isterinya yang berlumuran darah.

Katanya, dia ditenangkan rakan dan adik beradiknya sebelum mayat isterinya dibawa ke hospital.

Azlin berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku lebih kurang jam 12.10 tengah hari di persimpangan tiga Jalan Semarak dekat Masjid As Salam, Bukit Sentosa.

Katanya, kejadian melibatkan motosikal ditunggang isterinya dengan sebuah lori seberat tiga tan yang kedua-duanya datang dari arah Rasa dan dikatakan hendak membelok ke kiri arah sebuah pasaraya namun berlaku pelanggaran.

Menurutnya, ketika itu isterinya keluar awal ke sekolah dengan menunggang motosikal bersendirian untuk menjelaskan yuran program yang bakal disertai anaknya pada Rabu ini di Port Dickson.

“Sebelum kejadian itu saya ada hubungi isteri dan dia cakap sekolah hubungi minta jelaskan yuran program tapi dia tak cakap banyak dan terus letak telefon.

“Rasanya dia terus pergi sekolah lepas tu. Saya pula balik rumah nak makan tengah hari tapi bila sampai rumah dia tak balik lagi. Masa itulah saya tunggu dia sampai azan Zuhur,” katanya.

Katanya, pada pagi kejadian isterinya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan bersebelahan Masjid As Salam sempat menghantar makanan untuk anak keduanya makan pada waktu rehat.

Menurutnya, kejadian itu mengejutkan dan tidak menyangka isterinya pergi lebih awal darinya.

Kini, Azlin memikul sepenuhnya tanggungjawab menyara anak-anak, Hafif Muiz, 6, dan dua anak kembar Muhammad Azhad Ilham dan Muhammad Ilmie Azraie, 4, manakala anak sulungnya Nur Aina Batisha, 10, masih tinggal bersama datuknya di Teluk Intan, Perak.

Katanya, anak sulungnya tinggal bersama keluarga mertua sejak berumur tiga tahun lagi dan bersekolah di sana.

“Kami hidup dalam keluarga yang kurang berkemampuan dan disebabkan itu Nur Aina Batisha dijaga di sana bersama datuknya,” katanya yang hanya bekerja sendiri dengan mengambil upah membaik pulih rumah.

Katanya, jenazah isterinya dibawa pulang malam semalam ke Teluk Intan.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zulkifli Bedin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan mengenai punca sebenar kes masih dalam siasatan.

~sumber S.Harian

foto dari S.H