MISTERI LEMBAGA BUDAK



MISTERI LEMBAGA BUDAK | RANTAU PANJANG, KELANTAN: KAMPUNG LUBOK GONG dekat sini pada masa dulu bukan sahaja kawasan terpencil yang masih dipenuhi hutan, namun di sini juga letaknya dusun durian. Berikutan kawasannya agak terpencil, ia jarang dilalui orang, kerana itu laluan ini amat tersohor sebagai tempat yang agak keras dan sering mengusik. Daripada pengalaman beberapa mangsa yang pernah melihat lembaga budak perempuan sering melintas jalan menjelang larut malam sehingga pagi ketika melalui laluan berkenaan menjadikan segelintir mangsa pengguna jalan raya terbabit masih fobia. Walaupun kejadian berkenaan berlaku di masa lampau, namun dikatakan sehingga hari ini kejadian yang sama sering berlaku dan masih ditakuti sehingga hari ini.


Salah seorang mangsa diusik makhluk halus yang menjelmakan dirinya seperti manusia apabila dilihatnya seorang budak perempuan melintas jalan turut dialami oleh Talib bin Mahmood, 45, dari Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang, Kelantan. Beliau yang membawa Penulis ke tempat kejadian berkata, kejadian tersebut berlaku lima tahun lalu tetapi masih diingatinya sehingga hari ini.

Katanya, ketika beliau sedang menunggang motosikal seorang diri dari arah Rantau Panjang untuk pulang ke rumah perlu melalui kawasan keras yang dimaksudkan itu pada pukul 3.00 pagi di mana anak matanya dapat melihat dengan jelas seorang budak perempuan berpakaian serba putih (seperti kain sembahyang). Dari pengamatannya, beliau melihat muka budak perempuan tersebut berwajah hodoh sebelah.

"Saya dapat lihat hanya sekali imbas sahaja, agak-agak jelmaan lembaga budak perempuan itu dalam usia 14 tahun, berdasarkan kepada bentuk fizikal dan ketinggian tubuh lembaga tersebut", katanya mengingatkan peristiwa tersebut.

Apabila ditanya tentang perasaannya apabila terlihat jelmaan lembaga budak perempuan berpakaian serba putih sedang melintasi jalan di hadapan motosikal yang ditunggangnya, beliau memberitahu, bulu romanya secara tiba-tiba meremang kerana tidak pernah mengalami kejadian seumpama itu sebelum ini.

"Memang sebelum ini saya tidak pernah alami kejadian seumpama itu. Apabila melihat dengan mata dan kepala sendiri, memang gementar juga", ujarnya.

Disebabkan terkejut dengan kejadian pada pagi itu, secara tidak sengaja pemulas minyak motosikalnya dipulas secara tiba-tiba sehingga motosikal yang dinaiki dan sedang ditunggang di kawasan kejadian itu memecut dengan laju meninggalkan kawasan keras itu. Padahal motosikal yang ditunggangnya ketika melewati kawasan terbabit agak perlahan saja.

"Kalau nak kata jelmaan budak perempuan itu ada kaitan dengan nahas jalan raya yang menyebabkannya meninggal di tempat kejadian, saya tidak pernah dengar tentangnya.

"Tetapi jika dikatakan di tempat berkenaan pada masa dulu menjadi suatu tempat buang saka, kemungkinan itu ada dan saya tidak nafikan kerana kejadian berkenaan terjadi lima tahun dulu", jelasnya.

Tambah Talib lagi, selain pengalaman beliau disakat jelmaan lembaga budak perempuan yang melintasi jalan raya di tempat kejadian, beliau pernah diberitahu terdapat antara tiga hingga empat mangsa turut sama disakat ketika melalui kawasan terbabit terutamanya pada malam hari. Katanya, beliau dimaklumkan oleh beberapa mangsa yang pernah melihat jelmaan ular besar dari saiz ular yang biasa dilihat.

Malahan katanya, rakan rapatnya juga pernah dihulurkan 'buku lima' yang saiznya agak ganjil ke arahnya ketika melintasi kawasan terbabit. Rakannya itu tidak mengetahui kenapa lembaga berkenaan menawarkan 'penumbuk' kepadanya kerana beliau tidak pernah mengganggu makhluk halus yang boleh jadi berkampung dan mendiami di kawasan itu kerana beliau hanya melalui jalan itu sahaja dan tidak lebih dari itu.

Katanya, ketika kejadian itu berlaku selepas waktu Maghrib dan secara tiba-tiba hujan renyai-renyai pula turun malahan rakannya itu pulang ke rumah dari arah Rantau Panjang terpaksa melalui kawasan terbabit, apabila dari sebelah kiri jalan berkenaan rakannya itu melihat buku lima tangan ditunjukkan kepadanya. Disebabkan agak terkejut dengan keadaan itu, rakannya itu memecut kenderaannya dengan agak laju meninggalkan kawasan terbabit tanpa menoleh ke belakang lagi.

"Manakala satu kejadian lapan tahun lalu, saya pernah mendengar rumpun buluh dari arah dusun durian itu dengan tiba-tiba bongkok (condong) ke atas jalan pada masa-masa tertentu. Sedangkan pada masa itu, kawasan rumpunan buluh itu masih berkeadaan hutan lagi tidak sebagaimana hari ini", tambahnya.

Sementara itu, Abd. Ghaffar bin Daud, 46, dari kampung yang sama ingin berkongsi satu cerita tentang gangguan misteri yang berlaku selepas Maghrib pada tahun 1970 dulu di dusun durian di Kampung Lubok Gong itu. Menurutnya, kejadian yang dimaksudkan itu dialami oleh arwah bapanya sebagai penarik beca sejak 40 tahun lalu.

Katanya, ketika beca yang ditunggang oleh arwah bapanya itu melalui kawasan kejadian, dengan tiba-tiba ditumpang oleh seorang wanita aneh yang tidak dikenali dengan meminta bapanya itu menurunkannya di sebatang jalan dekat cabang Gual Tok Deh.

Agak hairan juga, wanita itu membayar harga tambang beca sebagai penumpang lalu diambil oleh arwah bapanya. Apabila dilihat wang yang dikatakan sebagai bayaran tambang, arwah bapanya melihat bukan wang tunai sebenar tetapi daun kayu semata-mata. Selepas lembaga wanita itu membayar tambang, dengan tiba-tiba wanita jelmaan itu terus ghaib.

"Saya tidak tahu bagaimana situasi ayah pada masa itu, namun gangguan di Kampung Lubok Gong pada masa dulu memang tersohor dan sehingga hari ini pun masih ada yang takut tentang ceritanya", ujarnya.