Lelaki Warga Myanmar Disembelih

Mayat seorang lelaki warga Myanmar dipercayai mangsa pembunuhan ala gengster ditemui dengan kesan disembelih di bahu jalan berdekatan ladang kelapa sawit di Tasik Valdor, Simpang Ampat, Nibong Tebal di sini semalam.

Lelaki berusia awal 30-an yang memiliki tatu berbentuk bunga ros pada lengan kanannya itu dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya dicampakkan di situ.
Jurucakap polis berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari.
“Mangsa dicampak di situ dalam keadaan terbaring dan kita tidak tolak kemungkinan ia berpunca daripada pergaduhan antara kumpulan komuniti Myanmar di daerah ini.
“Siasatan awal mendapati lelaki berkenaan bukan sahaja disembelih di leher sebelah kiri tetapi juga ditikam bertubi-tubi di perut dan dada,” katanya.

Sumber: Kosmo