Khalid Samad diludah, hampir ditampar

Khalid Abdul Samad
KUALA LUMPUR - Sejurus selesai proses ikat jamin selepas dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad diludah, disembur air, hampir ditampar dan dilemparkan kata-kata kesat oleh seorang lelaki tidak dikenali sebentar tadi.

Dalam kejadian yang tidak diduga itu, Khalid yang baru keluar dari Kaunter Jamin di aras B1, menuju ke pintu utama lobi untuk ke tempat meletak kereta bersama beberapa rakannya.

Menurut sumber yang mahu namanya dirahsiakan, keadaan di lobi kompleks mahkamah itu kecoh kira-kira 10 minit.

Sumber itu berkata, dalam kejadian pada jam 1 tengah hari tadi, Khalid tiba-tiba didatangi dua orang lelaki yang menunggunya di lobi.

Salah seorang daripada mereka meludah dan cuba menampar wajah ahli Pas itu.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad yang berada bersama Khalid ketika itu menahan tindakan lelaki itu.

Sementara itu, lelaki yang dianggarkan berusia 30-an itu disertai oleh beberapa lelaki lain kemudian mengekori Khalid menuju ke tempat meletak kereta.

Seorang saksi lain memberitahu, kumpulan lelaki itu meludah ke arah Khalid walaupun Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu sudah masuk ke dalam keretanya.

Mereka turut menjerit "Kamu ingat Selangor ini kamu punya ke?" dan "babi" kepada Khalid.

Kumpulan itu meninggalkan tempat kejadian selepas Khalid beredar.‬

Sementara itu, Khalid ketika dihubungi berkata, beliau agak terkejut dengan tindakan itu namun buat masa ini masih belum memutuskan tindakan yang akan dibuat terhadap kumpulan lelaki berkenaan.


SinarHarian