Apa akan jadi jika PKR tadbir Malaysia?, Soal Asri

Melalui laman sosial Facebook DrMAZA.com miliknya, Asri yang kini berada di London membangkitkan persoalan situasi yang akan berlaku sekiranya PKR yang kini sedang berhadapan krisis menteri besar Selangor mentadbir Malaysia. – Gambar fail, 25 Ogos, 2014.

Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini membangkitkan persoalan situasi yang akan berlaku sekiranya PKR yang kini sedang berhadapan krisis menteri besar Selangor mentadbir Malaysia.
Melalui laman sosial Facebook DrMAZA.com miliknya, Asri yang kini berada di London berkata, pertanyaan berkenaan adalah persoalan yang bermain dalam fikiran rakyat biasa.
"Saya di London sudah hampir tiga minggu. Saya hanya ikuti perkembangan politik dari Internet.
"Maaf, saya hanya tertanya diri saya: jika PKR yang seperti dalam keadaan sekarang menguasai negara apa akan terjadi?", kata Asri, di laman media sosial itu awal pagi tadi.
Beliau kemudiannya berkata, pengikut PKR tidak seharusnya marah dengan pertanyaan beliau, memandangkan ia adalah hak demokrasi setiap rakyat di negara ini.
"Maaf ahli-ahli PKR ini soalan yang melintas dalam fikiran seorang rakyat marhaen.
"Jangan marah. Kita negara demokrasi, hak rakyat untuk berfikir dan bertanya," katanya.
Status Facebook berkenaan setakat ini menerima 9,473 'Likes' dengan lebih 1,100 komen dan 425 perkongsian.
Selangor kini berhadapan krisis untuk menukar Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana dikatakan sering membelakangkan parti dalam membuat keputusan.
PKR memutuskan untuk menggantikan beliau dengan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr Wan Azizah dikatakan menerima sokongan majoriti 30 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor dari PKR dan DAP, dengan dua lagi Adun PAS yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD).
Khalid yang kini merupakan menteri besar dari blok Bebas mentadbir Selangor bersama empat anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) PAS.
Beliau dijangka bertemu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah esok bagi membincangkan kedudukannya sebagai menteri besar selepas PAS menyatakan sokongan kepada Dr Wan Azizah untuk menjadi menteri besar.
Parti Islam itu sebelum ini menamakan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali selain Dr Wan Azizah, untuk menjadi menteri besar, namun Azmin menolak pencalonan tersebut. – 25 Ogos, 2014.
~themalaysianinsider