Umat Islam digalak bantu Palestin

Zaharuddin Abdul Rahman

SHAH ALAM – Segala bentuk bantuan perlu terus dihulurkan kepada rakyat di Palestin mengikut kemampuan setiap umat Islam yang ada di muka bumi ini.

Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berkata, hukum membantu sesama Muslim adalah harus mengikut Islam.

“Bagi mana-mana umat Islam yang berkemampuan pergi berjuang di sana, sebenarnya diharuskan dari sudut Islam tapi kena lihat peruntukan undang-undang negara.

“Andai pergi juga dan (katalah) kerajaan anggap berpotensi sebagai pengganas dan mungkin ditangkap, itu dikira tidak berkemampuanlah.

Kecuali ada yang nak pergi tapi berazam tak balik-balik lagi ke Malaysia, bolehlah. Tapi dari sudut hukum Islam, mereka yang pergi membantu Palestin adalah salah satu tindakan yang dibenarkan,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Malah katanya, para ulama silam sepakat mengatakan sekiranya satu daerah Islam diceroboh, wajib untuk umat Islam seluruh negara dan benua untuk membantu.

Selain itu, umat Islam boleh membantu dari sudut kemanusiaan, kewangan, barangan dan doa serta bertindak memboikot barangan Yahudi.

“Boleh juga beri bantuan kemanusiaan seperti ubat-ubatan dan perkhidmatan doktor. Yang tak mampu pergi secara fizikal, boleh hantar bantuan kewangan dan barangan melalui NGO-NGO.
“Kalau tak mampu juga, boleh laksanakan boikot kepada barangan keluaran syarikat yang mempunyai kepentingan langsung dengan Yahudi selain mengirim doa dan mengadakan Qunut Nazilah pada waktu-waktu solat biasa termasuk pada solat Zuhur dan Asar,” katanya.

Ketika ditanya tentang kandungan Surah Al-Isra’ yang menyentuh soal kerosakan yang berlaku di Palestin itu, beliau berkata ada pelbagai pandangan ulama terdahulu terhadap perkara tersebut.
“Dalam Surah Al-Isra, disebutkan bahawa Allah SWT berkata Bani Israel akan melakukan kerosakan di muka bumi ini dua kali. Ada banyak pendapat ulama antaranya, pembunuhan Nabi Zakaria, menyalahi hukum Taurat dan mengubah Taurat, merancang untuk menghalang dakwah  dan membunuh Nabi Muhammad SAW, membunuh Nabi Yahya AS dan keazaman untuk membunuh Nabi Isa AS.

“Kerosakan kedua itu ada sesetengah ulama yang menyebut kerosakan pada zaman Nabi Muhammad lagi tapi kerana kita belum kiamat lagi, boleh jadi kerosakan kedua itu termasuk segala jenis kezaliman dan perancangan keji yang dilakukan ke atas umat manusia sekarang ini. Termasuk serangan ke atas Gaza dan bukan saja serangan fizikal serta tidak berperikemanusiaan itu tapi juga ekonomi dan pemikiran yang dilakukan Yahudi,” katanya.

Tambahnya, kezaliman Israel bukan sekadar isu Palestin tetapi pencabulan dari sudut kemanusiaan.
Mengulas mengenai kebimbangan di mana umat Islam akan bersifat lepas tangan terhadap rakyat di Palestin ekoran tertulis dalam al-Quran bahawa umat Islam akan menang, beliau mengingatkan bahawa keajaiban tidak akan berlaku tanpa usaha.

“Kita tak boleh membiarkan saja umat Islam di sana terus ditindas. Umat Islam perlu bersatu. Hukum Tuhan kena selarikan dengan hukum alam.
“Maknanya, tak adalah tiba-tiba semua keajaiban berlaku dan Malaikat turun buat semua kerja kan? Manusia itu kena kerja dulu sebelum malaikat diturunkan oleh ALLAH untuk membantu,” katanya.

Sumber SinarHarian