Minyak : Bilakah Negara Islam Akan Bersatu Lawan ISRAEL?

ISRAEL, yang kini sedang menyembelih rakyat Palestin di bumi Gaza mungkin terkenal dengan pelbagai senjata canggih ciptaan orang bijak pandai Yahudi, selain mendapat sokongan kuat ketenteraan daripada Amerika Syarikat (AS).

Tetapi, negara Islam, walaupun mungkin tidak memiliki kecanggihan teknologi ketenteraan seperti Israel dan sekutunya, mereka dikurniakan ALLAH dengan sumber paling berharga di muka bumi, iaitu minyak.

Dengan perang ekonomi inilah Israel dapat dikalahkan, jika negara Islam pengeluar minyak menyekat eksport minyak kepada AS.

Sekatan ke atas AS dan sekutunya ini seterusnya dapat memberi tekanan kepada Israel untuk menghentikan kekejaman ke atas rakyat Palestin.

Kaedah ini, yang membuktikan kekuatan ekonomi negara Islam pernah digunakan pada 1973.

Waktu itu, semasa Perang Yom Kippur, negara-negara Arab yang menganggotai Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengenakan sekatan minyak terhadap AS sebagai tindak balas kepada keputusan AS memberikan bekalan ketenteraan kepada Israel dalam perang rejim Zionis itu dengan Mesir dan Syria.

Sekatan turut dikenakan kepada negara penyokong Israel lain termasuk Belanda, Portugal dan Afrika Selatan.

Embargo itu mengharamkan eksport petroleum kepada negara yang disasarkan tersebut.

Terjejas teruk dengan sekatan itu, AS terpaksa tunduk dan berunding supaya Israel meninggalkan kawasan milik Syria dan hanya selepas rundingan itu berjaya, sekatan itu ditamatkan pada Mac 1974.

Sekatan itu menyebabkan kemerosotan ekonomi kepada AS dan negara pengimport minyak yang lain, serta mengukuhkan pengaruh negara-negara Arab dalam arena politik antarabangsa.


Dunia Islam kuasai simpanan minyak

Menurut statistik Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) bagi April 2014, sebanyak 110 juta daripada 287 juta tong minyak sebulan diimport oleh AS dari negara OPEC, dan daripada jumlah itu, 48 juta tong diimport dari Arab Saudi sahaja.

Adakah adil untuk menyasarkan sekatan ke atas AS?

Jawapan pendek: Ya.

Laporan Perkhidmatan Penyelidikan Kongres AS berhubung bantuan kepada Israel bertarikh 11 April 2014 menunjukkan Israel ialah penerima bantuan luar AS terbesar sejak Perang Dunia Kedua.

Sehingga tarikh laporan itu, AS telah memberikan Israel AS$121 bilion (RM385 bilion) bantuan kewangan.

"Hampir kesemua bantuan dua hala kepada Israel ialah dalam bentuk bantuan ketenteraan," menurut laporan itu.

Pada 2007, AS bersetuju memberi pakej bantuan ketenteraan AS$30 bilion (RM95 bilion) kepada Israel untuk tempoh 10 tahun dari 2009 hingga 2018, dan semasa lawatannya ke Israel pada Mac 2013, Presiden AS Barack Obama berjanji AS akan terus memberikan Israel bantuan ketenteraan.

Benar, kuasa OPEC semakin berkurangan kerana sejak sekatan itu, negara Barat berusaha mengeluarkan minyak mereka sendiri.

Namun dengan simpanan minyak di negara Islam mencecah kira-kira 55.7 peratus daripada jumlah keseluruhan di seluruh dunia, mengikut statistik EIA bagi 2013, kita masih mampu menggoncang dunia.

Malangnya, negara Islam, dengan kekayaan sumber alam yang diberikan ALLAH, masih belum bangun daripada tidur selepas 66 tahun bumi Gaza diratah dengan rakus oleh bangsa pendatang Yahudi.


Sumber Sinar Harian