Hafiz Al Quran Terpenjara bakal dijadikan anak angkat Datuk Zahid Hamidi

kisah seorang remaja hafiz Al Quran yang di penjara yang menjadi viral di laman media sosial baru-baru ini bakal berakhir dengan baik apabila Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersedia menyahut tawaran untuk menjadikan remaja terbabit sebagai anak angkat. 

Dalam satu sidang akhbar di Majlis Berbuka Puasa bersama warga kementerian di Masjid Al-Mujahiddin Kompleks Perumahan Polis, Tabuan Jaya, beliau memberitahu akan berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementeriannya, Ketua Pengarah Imigresen dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara berhubung tawaran menjadikan Muhammad Jamaluddin sebagai anak angkat.

Beliau berkata, perbincangan dengan ketiga-tiga pihak adalah berkaitan proses perundangan dan dokumentasi yang diperlukan untuk menjadikan remaja itu anak angkat.

Muhammad, 16 yang kini menjalani hukuman penjara di Penjara Machang, Kelantan menarik perhatian ramai di laman media sosial kerana kebolehannya menghafaz al-Quran dan menjadi imam di penjara.


Bagaimanapun, beliau menegaskan beliau tidak akan mencampuri urusan mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara ke atas Muhammad kerana kesalahan berada di Malaysia melebihi tempoh.

"Urusan menghukum ini adalah urusan mahkamah, maka saya tidak boleh menghina mahkamah dengan mengenepikan apa yang diputuskan" katanya.

Muhammad pada mulanya disangka seorang remaja Rohingya, namun hasil siasatan mendapati ibu remaja itu merupakan warganegara Thailand manakala bapanya dari Kemboja.

Ahmad Zahid mengarahkan Ketua Setiausaha kementeriannya Datuk Mohamad Khalid Shariff dan Ketua Pengarah Imigresen Aloyah Mamat ke penjara itu untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kebolehan Muhammad yang menarik minat pengikut laman media sosial.
 

~sumber: Berita