ALKISAH SATU PERTENGKARAN.

Satu ketika dahulu di sekolah, Hamzah bergaduh hebat dengan rakan baiknya Farid mengenai sesuatu sehingga hampir bergaduh.

Pada pandangan Hamzah ialah “saya betul, Farid yang salah.” Pada pandangan Farid pula, “saya betul, Hamzah yang tak betul.”


Pertengkaran itu kuat sehingga Ustaz Haron terpaksa campur tangan.
Ustaz Haron membawa Hamzah dan Farid ke dalam bilik mesyuarat guru yang mempunyai satu meja yang panjang.

Hamzah dan Farid disuruh duduk bertentangan jauh antara satu sama lain di meja tersebut.
Ustaz Haron memulakan pertanyaan: “Apakah warna cawan di tengah meja?”

Kerana tidak ingin kalah, kedua-dua cepat-cepat menjawab soalan Ustaz Haron:
Hamzah menjawab: “Hitam.” Farid menjawab: “Putih.”

“Tengok ustaz, cawan ini memang berwarna hitam. Tapi kerana saya berkata hitam, Farid terus berkata putih untuk melawan saya meskipun cawan ini hitam,” keluh Hamzah.

“Apa kamu merepek ini Hamzah? Cawan ini memang putih. Kamu buta warna patut pergi buat cermin mata. Jangan nak fitnah saya. Ustaz, lihatlah cara Hamzah fitnah saya. Saya jawab putih bukan kerana dia kata hitam, tapi kerana cawan ini putih,” bidas Farid.

“Apa lagi kamu berdua nak adu?” tanya Ustaz Haron.

Hamzah dan Farid bertengkar lagi untuk 30 minit sehingga dua-dua keletihan.
“Ustaz, cukuplah. Saya dah malas nak cakap dengan kerbau ini,” kata Hamzah kepada Ustaz Haron.
“Ustaz, saya pun sama. Susah nak berhujah dengan manusia yang tak nak menerima hakikat,” kata Farid.
“Ok, kamu berdua tukar tempat,” kata Ustaz Haron.

Selepas menukar tempat, Hamzah dan Farid terus diam. Rupa-rupanya cawan di tengah meja memang berwarna dua, separuh hitam dan separuh putih.

“Nak bertengkar lagi ke? Kadangkala kita kena berdiri di tempat orang lain untuk memahami pandangan mereka. Bukan semua yang ada di depan mata itu ialah betul. Ada benda yang kita tak nampak melainkan kita boleh melihat daripada semua sudut yang ada,” kata Ustaz Haron.
Selepas itu, Hamzah dan Farid saling bermaafan dan mula mengerti untuk menghormati pandangan masing-masing meskipun berbeza.

Wahai anakku,
Jangan selalu menganggap kamu sendiri betul. Belajarlah berdiri di kasut orang lain untuk memahami pandangan mereka sebelum membuat kesimpulan sendiri. Sehebat-hebat mata manusia, ia masih memerlukan cermin untuk melihat wajah mereka sendiri.
Matahari hanya satu, tapi kedudukan matahari di Timur ataupun Barat menyebabkan manusia menggelarkannya matahari terbit atau terbenam meskipun ia adalah matahari yang sama.

~sumber : Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man 

ISU Cadbury Haram : Tak Perlu 'Bersih Darah' atau Samak

BAGI sesiapa yang telah termakan Cadbury berDNA babi secara tersalah atau tidak tahu berkenaan kewujudan unsur babi tersebut.

Menurut hukum Islam, mereka TIDAK BERDOSA dan seterusnya TIDAK PERLU membersihkan darah.

Sebagaimana firman ALLAH SWT:

وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُمْ بِهِ وَلَكِنْ مَا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا {الأحزاب: 5}

Ertinya : Dan tidak ada dosa atasmu terhadap apa yang kamu tersalah padanya, tetapi (yang ada dosanya) apa yang disengaja oleh hatimu. Dan adalah ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Ahzab: 5)

Dan Nabi Muhammad salla ‘allahu ‘alaihi wasallam:

إن الله تجاوز عن أمتي الخطأ والنسيان وما استكرهوا عليه. رواه ابن ماجه وصححه الألباني.

Ertinya: Sesungguhnya ALLAH SWT melepaskan dari umatku apa yang tersalah, lupa dan sesuatau (yang haram atau salah) yang dipaksakan ke atas mereka. ( Riwayat Ibn Majah, sahih)

Justeru, tiada istilah ‘membersihkan darah’, atau seolah DIRI akan ke neraka atau AMALAN LAIN akan DITOLAK kerana coklat terbabit sekiranya darah tidak dibersihkan. Ini semua tidak benar.

Namun, jika ingin diambil SAMAN GANTIRUGI atas kesilapan Cadbury dan kealpaan mereka atau keculasan menggunakan logo halal pada yang tidak halal, itu WAJAR DILAKUKAN namun JANGAN dihujah atas nama ‘membersihkan darah’ seolah ia tuntutan agama.

Juga TIDAK PERLU disamak mulut dan usus dengan air tanah, Islam tidak menuntut sedemikian dalam hal seperti ini.

Jangan menyebabkan Islam disalah tanggapi dengan pandangan pelik dan tidak berasas kukuh.

~Sumber : Dr. Zaharuddin Abd Rahman 


SEMASA: Status halal Malaysia Mulai Diragui

SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi 1 Pas Pusat, Nasrudin Hassan melahirkan rasa kesal di atas pengesahan dua sampel produk keluaran Cadbury Dairy Milk iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond yang mengandungi DNA babi (Porcine)  yang jelas mencabar kewibawaan status halal Jakim.

Menurutnya yang merangkap Ahli Parlimen Temerloh, kenyataan Jakim yang sebelum ini menegaskan bahawa pensijilan halal Malaysia adalah membabitkan proses pengauditan dan pemeriksaan yang ketat kini mula diragui.

"Pada Mac lalu, negara sudah dikejutkan dengan laporan 1.3 juta ekor ayam yang disembelih setiap harii di 2,000 pusat penyembelihan ayam di seluruh negara diragui status halalnya, dan kali ini kita dikejutkan dengan isu DNA babi dalam makanan kita.

"Isu ini mencalar imej Malaysia sebagai sebuah negara yang telah diiktiraf sebagai peneraju pembangunan industri halal dan diberi kepercayaan mengetuai rundingan dalam kalangan negara Islam bagi mewujudkan standard halal universal, ianya akan memberi kesan serta implikasi negatif kepada umat Islam, pengambilan bahan makanan haram mempengaruhi tingkah-laku khususnya aspek spiritual mereka," katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Menurutnya  lagi, usaha umat Islam untuk memenuhi kriteria ‘halalan thoyyiba’ pada sudut pemakanan disia-siakan dengan pengambilan produk berkenaan tanpa sedar disebabkan kesilapan dan kecuaian pihak-pihak tertentu.

Justeru, beliau mengambil langkah mendesak pihak kerajaan dan Jakim untuk mengambil tindakan proaktif dan afirmatif dengan melakukan pemeriksaan mengejut secara besar-besar kepada semua pengeluar produk makanan khususnya kepada syarikat pengeluar makanan yang telah diberikan sijil halal oleh Jakim sebelum daripada ini.

Tambahnya lagi, tindakan tegas seperti denda dan pembatalan sijil halal dan lesen pernigaan perlu dibuat terhadap pihak yang tidak mematuhi standard yang telah ditetapkan.



~Sumber Sinar Harian

GEMPAR: Dua Produk Coklat Cadbury HARAM!!


 Jaringan Melayu Malaysia (JMM) bersama 80 NGO akan bertindak memfailkan saman ke atas syarikat Cadbury kerana kerana produk mereka mengandungi sampel DNA babi.

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, tindakan saman itu bagi menuntut kerugian dan penipuan yang dilakukan syarikat tersebut kepada pengguna Islam.

"Ini penipuan jahat dan harus dibendung. Bagi kalangan masyarakat Islam ini adalah penghinaan yang amat dahsyat. Tidak sepatutnya keluarkan produk itu,” katanya.

“Setakat ini kami telah menerima 700 e-mel dan SMS daripada rakyat Malaysia yang mahu kami mewakili mereka menyaman Cadbury. Kami akan memfailkan saman ini  dan menganggarkan jumlah tuntutan sebanyak RM100 juta,” katanya.

"Proses untuk memfailkan saman itu akan dikendalikan dengan kerjasama daripada Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam)," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Azwanddin berkata, beliau amat marah dengan insiden tersebut kerana beliau sendiri memberikan anaknya coklat tersebut.
"Anak saya pun sudah makan coklat-coklat haram itu. Syarikat ini jelas mempersendakan soal halal di dalam pemakanan orang Islam. Ini adalah penipuan yang sangat jahat yang dilihat sengaja menghina orang Islam.

"Bukan sahaja melibatkan pengguna Islam, malah apa dilakukan syarikat Cadbury itu sengaja menganiayai pekerja  beragama Islam," katanya.

Kementerian Kesihatan dan Jakim mengesahkan dua coklat Cadbury iaitu Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam mempunyai DNA babi (Porcine).

Susulan itu, Jakim menarik serta- merta sijil halalnya. Cadbury turut menarik kedua-dua produk milik syarikatnya di kesemua premis yang menjual coklat tersebut.

Dalam pada itu, Azwanddin turut menyatakan kekesalannya terhadap Jakim dan kementerian yang didakwa lambat bertindak.

"Jakim dan kementerian tidak boleh memandang ringan iaitu hanya menarik sijil halal, mereka juga perlu memohon maaf atas apa yang berlaku.

"Mungkin pihak mereka perlu disiasat dibimbangi ada unsur rasuah atau sebaliknya," katanya.
Sementara itu, Pengarah Sukaguam Kebangsaan, Ahmad Zuhairi Ahmad Pu'aat berkata, antara notis saman akan difailkan ke atas Cadbury adalah di bawah akta pengguna bagi menebus kerugian.

"Kita boleh gunakan Akta Perlindungan Pengguna di bawah Seksyen 50, hak tebus rugi pengguna terhadap pengilang. Sebenarnya banyak lagi akta pengguna boleh kita gunakan. Buat masa sekarang akta ini nampak lebih kuat," katanya.

~SUMBER SINAR HARIAN

Bicara Sekeping Hati

Pena ini mencoretkan lagi nukilan hati, berbicara dengan dinding kamar bukan kerana aku kerisauan. Aku tetap dirantaian celah-celah manusia. Namun aku tetap merasa sepi. Aku bertanya pada dinding kamar kenapa aku sunyi?

Aku bicara pada rembulan yang bersinar? Aku bertanya pada si mentari?

Kenapa aku terasa kosong benar jiwa, tiada jawapan, hanya bahasa nyanyian bisu mengiringi. Bertanya pada manusia? Gelak tawa mereka adalah tangis sedih hati yang rapuh. Aku mencari keindahan pada dunia ini. Pada seorang lelaki, lelaki itu mati. Pada segumpal wang, wang itu habis, pada sebuah jawatan, jawatan itu hilang.

Aku merantau lagi, mencari kebahagian yang abadi. Berlabuh dari satu pelabuhan ke pelabuhan lain. Mencari apa itu yang tenang, mencari apa yang puas. Tetap jua sama. Pulang ke halaman, bersama tangan penuh debu dosa. Keindahan yang kekal abadi itu masih tidak kunjung tiba. Ramai yang berbicara dunia ini sementara, namun tidak ramai yang bersedia. Sama jua aku. Berkira hidup ini lama lagi, berdosa tidak apa.

Terlupakah kita, dengan mengingati ALLAH jiwa menjadi tenang? Kitab suci, tersedia rapi di almari, berhabuk, lusuh sedikit tidak terusik. Menanti sahabat berlabuh nyawa meninggal dunia baru terbaca. Menanti sakit derita hiba baru terucap kalimah suci itu. 

Baru tersedar.Bukan dinding kamar patut kita bicara, bukan pada mentari patut kita bertanya, bukan pada rembulan, bukan jua pada sekecil hamba yang hina kita bersoal, juga bukan pada bintang dan pelangi.

Sujudlah padanya, berbicaralah dengan ALLAH tuhan segala pencipta .Bermohonlah padanya, mintalah padanya, itulah kebahagian yang aku, kamu dan mereka cari selama ini.

~sumber ILUVISLAM.COM

Cinta Mahabbah

C I N T A adalah asas bagi segala jenis ibadat. Ibadat menjadi tidak sah tanpa disertai dengan rasa cinta dengan kerendahan hati yang sempurna, seperti senikata lagu perbuatan cinta dan rasa cinta diluahkan dengan kerendahan hati (ikhlas).

Anugerah cinta yang dikurniakan Allah dan nikmat yang dirasainya amatlah tidak ternilai harganya hingga kadangkala seseorang sanggup mengorbankan nyawa untuknya.



Tetapi, bolehkah kita menyamakan cintanya kita kepada seseorang dengan cintanya kita kepada ALLAH? Tentu sama sekali jawapannya, TIDAK. Kerana barangsiapa yang menyamakan cintanya kepada seseorang sebagaimana dia menyintai Allah atau mencintai sesuatu selain Allah atau mencintai sesuatu bukan kerana Allah maka orang tersebut termasuk ke dalam golongan orang yang telah ‘syirik’ iaitu menyekutukan Allah. Nauzu Billah Min Zalik.

Ini kerana hawa nafsu CINTA harus disesuaikan. C I N T A ditafsirkan mengikut tafsiran orang yang mengungkapkan kata cinta malahan kata cintanya kadang-kadang terkeliru dengan perbuatannya sendiri. Ini bermakna mereka tidak dapat memahami erti cinta itu sebenar.

Marilah, kita memahami erti cinta; cinta sebenar, cinta palsu dan syirik cinta.
Syirik cinta, iaitu menyamakan cinta kita kepada Allah sama seperti cinta kita kepada seseorang atau makhluk yang lain dengan perbuatan mengagongkannya dan rasa takut padanya. Sedangkan yang layak untuk diagongkan dan rasa takut hanyalah untuk Allah semata-mata. Ini adalah cinta salah, cinta syirik, janganlah kita terjerumus ke dalam jenis cinta ini.

Janganlah kita juga tertipu dan terjerumus dalam cinta palsu atau cinta yang tak cukup iaitu hanya menuturkan kata menyintai ALLAH SWT tetapi mengingkari syariatnya. Cinta jenis ini tidak mencukupi untuk melayakkan kita memasuki syurga Allah dan terhindar daripada azab neraka. Kenapa? Kerana orang munafik dan orang kafir juga cinta kepada Allah.

Mereka menuturkan kata menyintai ALLAH tapi mereka sebenarnya orang yang kufur pada nikmat akal, pendengaran dan penglihatan. Mereka mengkhianati apa yang dituturkan kerana mereka mengingkari apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW aitu dengan tidak mematuhi perintah syariatnya yang datangnya dari Allah swt. Cinta mereka tidak sempurna (tidak cukup) bila mengakui kalimah syahadat yang pertama tetapi mengingkari kalimah syahadat yang kedua.

Bukankah itu yang banyak terjadi pada masa kini, golongan yang Islam pada luarannya tetapi kafir pada dalamannya?  Nauzu Billah Min Zalik.

Justeru, janganlah kita sekadar tahu mengucapkan kata cintq tapi buta hati akan makna cinta sebenar . Erti cinta sebenar ialah apabila kita cinta kepada apa yang dicintai oleh Allah. Cinta (patuhi) apa yang diperintahkan oleh Allah dan benci pada apa yang dilarang oleh Allah. Cinta ini membawa kita ke jalan Allah dan seterusnya menjadi muslim sejati iaitu orang yang dicintai Allah.

Kedua, erti Cinta Sebenar ialah Cintailah kerana Allah. Jika kita mencintai seseorang cintailah kerana Allah. Cintailah seseorang bukan saja pada rupanya tapi cintailah seseorang kerana cintanya yang dekat dengan Allah iaitu yang mengikut ajaran Allah.

Semoga dengan memahami kesempunaan cinta sebenar, maka kita akan berada di dalam landasan kebenaran. Raihlah ia dengan bermunajat kepada Allah supaya dikurniakan hati yang lapang untuk menerimanya dan mengimaninya. Kesempurnaan cinta bermula dari mencintai Allah yang Esa dan insyaAllah akan sempurnalah cinta kepada yang lain. SubhanAllah..

Katakanlah “Saya Cinta Allah dan menyintai apa yang dicintai olehNya.” Semoga dengan sentiasa membisikkan dalam hati, hati kita terarah dan terlatih untuk hanya menyintaiNya dan meyintai apa yang dicintai olehNya.

Cinta yang sebenar-benar cinta!

~sumber ILuvIslam.

Pendeta yang Insaf

Ibrahim Al Khawas ialah seorang wali Allah yang terkenal keramat dan dimakbulkan segala doanya oleh Allah. Beliau pernah menceritakan suatu peristiwa yang pernah dialaminya. Katanya, “Menurut kebiasaanku, aku keluar menziarahi Makkah tanpa kendaraan dan kafilah. Pada suatu waktu, tiba-tiba aku tersesat dan kemudian aku bertemu dengan seorang rahib Nasrani (Pendeta Kristian) “. Ketika dia melihatku dia pun berkata, “Wahai rahib Muslim, bolehkah aku bersahabat denganmu?”.

Ibrahim segera menjawab, “Ya, tidaklah aku akan menghalangi kehendakmu itu”. Maka berjalanlah Ibrahim bersama dengannya selama tiga hari tanpa meminta makanan sehingga rahib itu menyatakan rasa laparnya kepadaku, katanya, “Tidaklah aku ingin memberitahukan padamu bahwa aku telah menderita kelaparan. Karena itu berilah aku sesuatu makanan yang ada padamu”.

Mendengar permintaan rahib itu, lantas Ibrahim pun memohon kepada Allah dengan berkata, “Wahai Tuhanku, Pemimpinku, Pemerintahku, janganlah engkau mempermalukan aku di hadapan seteru engkau ini”.


Belum selesai Ibrahim berdoa, tiba-tiba turunlah hidangan dari langit berisi dua keping roti, air minum, daging masak dan tamar. Maka mereka pun makan dan minum bersama-sama. Sesudah itu aku pun meneruskan perjalananku. Setelah tiga hari tanpa makanan dan minuman, dikala pagi, aku pun berkata kepada rahib itu, “Hai rahib Nasrani, berikanlah kepadaku sesuatu makanan yang ada padamu”. Rahib itu menghadap kepada Allah, tiba-tiba turun hidangan dari langit seperti yang diturunkan kepadaku dulu”.

Sambung Ibrahim lagi, tatkala aku melihat yang demikian itu, maka aku pun berkata kepada rahib itu “Demi kemuliaan dan ketinggian Allah, tiadalah aku makan sehingga engkau memberitahukan (hal ini) kepadaku”. Jawab rahib itu, “Hai Ibrahim, tatkala aku bersahabat denganmu, maka aku mengenal kemuliaanmu, lalu akupun memeluk agama engkau. Sesungguhnya aku telah membuang-buang masa di dalam kesesatan dan sekarang aku telah mendekati Allah dan berpegang kepadaNya. Dengan kemuliaan engkau, tiadalah Allah mempermalukan aku. Maka terjadilah kejadian yang engkau lihat sekarang ini. Aku telah mengucapkan seperti ucapanmu (kalimah Syahadah)”.

“Maka gembiralah aku setelah mendengar jawaban rahib itu. Kemudian aku pun meneruskan perjalanan sehingga sampai di Makkah Al Mukarramah. Setelah kami mengerjakan haji, maka kami tinggal dua tiga hari lagi di tanah suci itu. Suatu ketika, rahib itu tidak kelihatan olehku, lalu aku mencarinya di Masjidil Haram, tiba-tiba aku mendapatinya sedang bersembahyang di sisi Ka’bah”. Setelah rahib itu selesai bersembahyang maka dia pun berkata, “Hai Ibrahim, sesungguhnya sudah dekat perjumpaanku dengan Allah, maka jagalah olehmu persahabatan dan persaudaraanku denganmu”.

Setelah dia berkata begitu, tiba-tiba dia menghembuskan nafas terakhirnya. Seterusnya Ibrahim menceritakan, “Maka aku merasa amat berduka atas kepergiannya. Aku segera mengurus jenazahnya dan pemakamannya. Ketika tidur aku bermimpi melihat rahib itu dalam keadaan yang begitu elok sekali tubuhnya, dihiasi dengan pakaian sutera yang indah”. Melihat hal itu, Ibrahim pun terus bertanya, “Bukankah engkau sahabatku, apakah yang telah dilakukan oleh Allah terhadap engkau?”.

Dia menjawab, “Aku berjumpa dengan Allah dengan dosa yang banyak, tetapi dimaafkan dan diampuniNya semua itu karena aku berprasangka baik kepadaNya dan Dia menjadikan aku seolah-olah bersahabat dengan engkau di dunia dan bertetangga dengan engkau di akhirat”.

Begitulah persahabatan diantara dua orang yang berpengetahuan dan beragama sehingga memperoleh hasil yang baik. Walaupun orang tersebut dulunya beragama lain, tetapi berkat keikhlasan dan pengabdiannya kepada Allah, dia ditunjukkan pada agama Islam dan bisa mendalami ajaran-ajarannya”.

16 Tahun bertahan Hidup Sekadar Meminum Air

  KULAIJAYA – “Duit simpanan dah habis, tapi sakit dihidapi sejak 16 tahun lalu masih belum pulih,” kata seorang pesakit misteri, Ali Hanafi Yusof, 44.

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM900 sebulan berkata, tidak mampu menanggung kos perubatan dan keperluannya, ditambah masih perlu menampung perbelanjaan tiga anak masih bersekolah.
“Saya ada minta bantuan pihak berkenaan untuk dapatkan tanggung kos rawatan, namun tiada respons,” katanya semalam.

Kisah duka, Ali Hanafi ini bermula sebaik menjalani pembedahan tiroid di tekak pada 2005, namun punca sebenar penyakit dialaminya itu belum dapat dikenal pasti hingga kini.

“Saya sangka lepas pembedahan, sakit hilang, tapi sekarang saya tak dapat telan makanan.

“Saya hanya boleh minum air yang ditapis, kalau tak, saya senang tersedak dan sesak nafas,” katanya.

Ali Hanafi berkata, keadaan bertambah buruk apabila dia sering mengalami masalah pernafasan secara tiba-tiba hingga mengganggu rutin kerja dan menyebabkan dia beberapa kali dibuang kerja.

“Sebelum kerja di sini, macam-macam kerja saya buat termasuk juruteknik, pemandu dan pembantu kedai, namun tak lama kerana selalu cuti sakit.

“Badan cepat letih, mungkin sebab kurang zat, tapi saya bersyukur majikan di sini memahami keadaan saya. Cuma ada masa saya tidak dapat elaun penuh kerana kerap cuti sakit,” katanya.

Katanya, bagi menambah sumber pendapatannya dia turut melakukan kerja sampingan pada waktu malam untuk mengumpul kos rawatan dan menampung keperluan keluarga.

“Sebelum ini saya pernah cuba makanan tambahan yang dijual dalam bentuk jus dan dapat membantu mengurangkan masalah pernafasan, tapi saya tak mampu teruskan kerana mahal,” katanya.

~sumber Sinar Harian

LAWAK: Tahan Wad

Ketika pergi melawat saudaranya di Hospital Sakit Jiwa Tanjung Rambutan, Pak Pandir pun bertanyalah kepada pengarah hospital itu.

“Tuan pengarah, apa kriteria yang digunakan untuk menentukan sama ada seseorang itu patut ditahan di wad, atau sebaliknya,” demikian soalan Pak Pandir.

Jawab pengarah hospital,” Senang aja, kita akan penuhkan air dalam tab mandi, kemudian berikan sudu, cawan dan baldi kepada pesakit, suruh mereka keringkan tab mandi itu.”

Secepat kilat Pak Pandir mengangguk. “Oh, saya faham, saya faham! Kalau orang itu fikirannya waras, dia akan buang air dalam tab mandi menggunakan baldi sebab baldi lebih besar daripada sudu dan cawan. Betul, kan macam tu, tuan pengarah?” kata Pak Pandir dengan begitu yakin sekali.



“Tak!” jawab pengarah hospital. “Orang yang waras akan cabut getah penutup lubang tab itu! Sekarang Pak Pandir beritahu saya, Pak Pandir nak bilik kat tingkat atas ke, kat tingkat bawah?” 

LAWAK Jual Kereta

Morthy ingin menjual kereta kancil yang sudah lama dipakainya dengan kereta baru. Dia pun membawa kereta tersebut ke kedai kereta terpakai.

“Haiyaa….baru tiga tahun mileage sudah 200 000 km woo!!” kata tauke kedai itu sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. 

“Habis…macamana saya mau buat tokey?” kata Morthy mengharapkan simpati.
“Saya ada satu kawan mekanik boleh kasi turun itu lu punya mileage. Lepas you buat datang sini semula,” saran tauke itu.

Lalu Morthy pun melakukan seperti apa yang disarankan oleh tauke kedai kereta itu. 
Sudah tiga bulan tauke kedai itu menunggu Morthy. Dia pun naik hairan lalu menelefon Morthy.

“Aloo..Encik Morthy. Itu kereta tidak mau jualkah? Saya sudah ada customer mau beli lu punya kereta” kata tauke itu.

Dengan penuh yakin Morthy pun berkata, “Saya tidak mau juallah tokey…sudah tiga tahun saya pakai mileagenya baru 50 000 km woo!!”


Tauke kedai, “???!!!!”

Persoalan Wanita Solat Atas Jejambat TERJAWAB!!!

Tags


 PETALING JAYA: Mendakwa mendapat 'hidayah' untuk berubah, seorang wanita warga Indonesia mencetuskan tanda tanya apabila dilihat menunaikan solat dan membaca al-Quran di atas jejambat berhampiran Bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Gambar wanita berkenaan mula tersebar di laman sosial sejak tengah hari Sabtu hingga menjadi viral apabila dia yang lengkap bertelekung sedang membaca al-Quran di atas sejadah ditepi jalan.

 Maklumat awal mendapati Anita Shiar, 27, mendakwa dia bermimpi ditimpa sesuatu perkara yang tidak baik lalu bertindak bersembahyang di merata tempat.

Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Menurut Zainuddin, wanita yang ditemui tanpa dokumen pengenalan diri itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu jurucakap HKL mengesahkan wanita itu kini sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.
- SUMBER 




Gagal Masuk ke Masjidil Haram kerana Tonton Video Lucah

Sekadar Hiasan


SALAH satu kisah menarik yang cukup baik untuk kita mengambil ikhtibar ialah mengenai seorang jemaah haji (lelaki) yang gagal masuk ke Masjidil Haram.

Lelaki ini tidak sama pakej dengan saya , jadi saya tidak mengenali beliau. Apa yang berlaku kepada lelaki berkenaan ialah setiap kali dia hendak masuk ke masjidil haram, dia tiba-tiba menjadi panik seperti orang ketakutan. Kemudian lelaki itu tergopoh-gapah ke luar semula daripada masjid dan tergesa-gesa pulang ke rumah tumpangannya.

Selepas kali pertama gagal, lelaki itu cuba sekali lagi tetapi apabila orang-orang dalam masjid memandang ke arahnya, dia terus berlari balik ke rumah tumpangannya. Kejadian aneh itu berulang kali berlaku selama seminggu sehingga lelaki tadi tidak dapat sembahyang dalam Masjidil Haram.

Melihat keadaan yang sungguh aneh ini, seorang sahabat datang memberitahu saya dan minta supaya saya cuba ubati lelaki itu. Saya bersetuju tetapi tidak terus mengubati lelaki itu. Sebaliknya,saya cuba mendapat maklumat mengenainya terlebih dahulu.

Saya sengaja berbuat demikian kerana saya rasa mesti ada sesuatu kesalahan yang telah dibuatnya hingga menyebabkan dia jadi sedemikian rupa. Jadi saya suruhlah kawan saya selidiki dahulu latar belakang lelaki itu.

Kawan saya itu pun pergilah berjumpa semula dengan lelaki itu dan meminta dia ceritakan apakah sebenarnya yang telah berlaku. Mulanya lelaki tersebut malu hendak bercerita apakah sebenarnya yang telah berlaku tetapi selepas dipujuk akhirnya lelaki itu
bersetuju.

Ceritanya agak memalukan tapi memberi banyak pengajaran. Sebenarnya, dia punyai hobi yang sangat memalukan. Filem lucah sudah menjadi makanan hariannya malah pada malam terakhir hendak bertolak ke Mekah pun dia sempat lagi menonton filem lucah.

Rupa-rupanya, lelaki itu memberitahu bahawa setiap kali dia hendak masuk ke masjidil haram, dia tiba-tiba nampak seorang perempuan yang dalam keadaan bogel menerkam ke arahnya atau seperti mencari-carinya. Maka kerana takut kelakuan perempuan tadi akan memalukan dirinya, lelaki berkenaan lari.

Selepas mengetahui kedudukan sebenar, barulah saya mengubaati lelaki tadi. Saya diberitakan, selepas itu barulah dia dapat masuk ke masjid, itupun cuma sampai ke pintu.

(Kisah benar ini diceritakan oleh Dato Dr Harun Din)

Sumber: TabekPuang

Hukum Hudud Meminum Arak Dalam Islam




Dalam Islam, arak itu sendiri adalah haram atau dilarang. Sama ada minum sedikit atau banyak adalah sama sahaja larangannya. Demikian juga dadah. Sabda Nabi s.a.w

ما أسكر كثيره فقليله حرام
Ertinya : Apa-apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya juga haram ( walaupun belum memabukkan) ( Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud : Ibn HIbban : Sohih )


Ayat al-Quran dan hadis berkenaannya terlalu banyak dan amat biasa kita baca. Islam mengakui wujudnya manfaat kecil dari arak tetapi manfaatnya adalah berdiri di atas kehancuran pihak yang lain. Sama seperti judi, yang menang sememangnya gembira namun ia menang di atas kekalahan pihak yang lain.

Firman Allah swt :
يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
"Mereka bertanyakan kepada kamu tentang arak dan judi, katakanlah (kepada mereka) pada kedua-duanya terdapat dosa yang besar dan kebaikan kepada manusia, dan dosa pada kedua-duanya lebih banyak dari kebaikan" (Al-Baqarah : 219)


Lagi Allah menegaskan :-
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah ( DIHARAMKAN) perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ( Al-Maidah : 90)


Terbukti secara teori dalam ilmu Islam dan realiti dari statistik yang diberikan, arak adalah salah satu punca utama jenayah, selagi ruang dan peluang dibuka seluasnya selagi itulah manusia akan melakukan kesalahan mabuk.
Kerana itu nabi menyebut :-

الخمر أم الخبائث
Ertinya : Arak itu adalah ibu kepada kejahatan ( Hadis Hasan : Albani ; Silsilah Ahadith As-Sohihah, 1854)


Gunakan kuasa dengan tepat dan adil, selaras dengan perjuangan kamu. Adil dalam konteks arak adalah mengharamkannya dalam penjualan bebas.





HUKUMAN SEBAT BAGI PEMINUM ARAK


Bagi sesiapa sahaja yang bertanya dari kitab mana, dan buku mana, sumber mana diambil hukuman sebat bagi peminum arak, jawapannya adalah seperti berikut, tindakan mengenakan sebatan bagi peminum arak adalah diambil dari kumpulan hadis-hadis Nabi yang cukup banyak, antaranya :-

1) Hadis Nabi :
إذا شربوا الخمر فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم
Ertinya : Apabila mereka minum arak, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka ( Riwayat Abu Daud)


2. Hadis Nabi :

أن النبي أتي برجل قد شرب الخمر , فجلده بجريدتين نحو أربعين

Ertinya : Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [1]


3. Hadis Nabi
كان يضرب في الخمر بالنعال والجريد أربعين
Ertinya : Sesungguhnya dipukul (sebat) bagi arak (peminum) dengan kasut-kasut dan pelapah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [2]


4. Hadis Nabi :-

أن النبي صلى الله عليه وسلم : جلد في الخمربالجريد والنعال , ثم جلد أبو بكر أربعين فلما كان عمر ودنا الناس من الريف والقرى , قال : ما ترون في جلد الخمر؟ فقال عبدالرحمن بن عوف : أرى أن نجعلها كأخف الحدود , فجلد عمر ثمانين
Ertinya : Sesungguhnya Nabi s.a.w merotan (sebat) dalam kes arak dengan pelepah tamar dan sepatu, kemudian Abu Bakar ( di zaman pemerintahannya) juga menyebat dengan 40 kali sebatan, di ketika pemerintahan Umar, beliau meminta pandangan orang ramai dari kampong dan desa lalu berkata : Apa pandangan kamu berkenaan sebatan bagi peminum arak?, lalu Abd Rahman Auf berkata : Aku berpandangan kita menjadikannya hudud yang paling ringan (merujuk kepada sebatan qazf) maka Umar membuat keputusan untuk menyebat dengan 80 kali sebatan ( Riwayat Muslim dan Abu Daud)

5. Athar sahabat
قال علي : جلد رسول الله في الخمر أربعين , وأبو بكر أربعين , وعمر ثمانين , وكل سنة وهذا أحب إليّ
Ertinya : Berkata Ali r.a : Rasulullah menyebat peminum arak 40 sebatan, Abu Bakar juga 40 sebatan, Umar menyebat 80 sebatan, semuanya adalah sunnah, dan ini ( merujuk kepada 40 sebatan) adalah lebih aku sukai. ( Riwayat Muslim )


6. Hadis Nabi
أن رجلا رفع إلى النبي صلى الله عليه وسلم قد سكر ، فأمر قريبا من عشرين رجلا ، فجلدوه بالجريد ، والنعال
Ertinya : Seorang lelaki dibawa ke penghakiman Nabi s.a.w kerana telah mabuk (minum arak), lalu Nabi s.a.w mengarahkan sekitar 20 orang lelaki untuk menyebatnya dengan pelepah tamar dan sepatu ( Al-Bayhaqi)


Jika dikatakan, itu semuadari hadis, maka apakah pula dalil al-Quran yang menyuruh? jawabnya adalah
وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
Ertinya : Kami turunkan kepadamu Al Qur'an, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan ( An-Nahl : 44)
Maka itulah tugas hadis nabi yang bersumber dari kata-kata, perbuatan dan perakuan baginda Nabi s.a.w yang menjadi penjelas kepada Al-Quran.


PERBEZAAN TASFIRAN ULAMAUlama telah bersepakat bahawa mesti dijatuhkan hukuman bagi peminum arak, sama ada ia minum banyak atau sedikit. Namun ulama berbeza pandangan dalam sekurang-kurang dua perkara iaitu :-

1) Adakah hukuman sebatan ke atas peminum arak adalah dalam kategori hukuman hudud atau hanya ta'zir.
Kebanyakan mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafie meletakkan hukuman sebat ke atas peminum arak sebagai hukuman hudud.
Namun demikian, sebahagian ulama lain seperti At-Tabari, Ibn Munzir, As-Syawkani, Ibn Qayyim, Al-Qaradhawi, Al-Uthaymin menganggapnya sebagai ta'zir semata-mata, yang mana ia terserah kepada hakim untuk menentukan jumlah sebatan dan keperluan untuk menyebat atau tidak.
Menurut Al-Qaradhawi, ia terbukti sebagai ta'zir kerana wujud pelbagai dalil yang menunjukkan :-

a- Jumlah pukulan berbeza mengikut keadaan peminum. Ada yang dikenakan 40 kali dan ada yang dikenakan 80 kali. Sifat hukuman hudud adalah tetap, namun ini berbeza-beza menunjukkan ia hanyalah dari hukuman ta'zir, yang terserah kepada kebijaksanaan hakim menentukan jumlahnya.

b- Dalam salah satu hadis yang tesebut di atas, Abd Rahman Auf r.a mencadangkan kepada Umar agar diletakkan hukuman yang paling rendah berbanding hudud, ini menunjukkan hukuman ini adalah ta'zir kerana menurut majoriti ulama, hukuman ta'zir tidak boleh melebihi hudud.

c- Cara penjatuhan hukuman juga berbeza, ada yang disebat menggunakan sepatu, ada yang menggunakan tangan, baju dan sebahagian lain menggunakan pelepah tamar. Tidak mungkin hukuman ini dari jenis hudud jika sedemikian kerana hukuman hudud semestinya fixed atau tetap jumlahnya.

Berdasarkan penelitian terhadap dalil dan perbincangan para ulama yang panjang lebar dan mendalam, secara peribadi saya cenderung kepada hukuman ini adalah ta'zir dan bukan hudud. Wallahu'alam.


2) Jumlah sebatan yang perlu dikenakan.

Dalam hal ini, para ulama terbahagi kepada dua kumpulan :-
Pertama : Mazhab Hanafi, Maliki, At-Thawry dan Hanbali : Sebatan sebanyak 80 kali sebatan sama ada lelaki atau perempuan.
Kedua : Mazhab Syafie : 40 kali sebatan sahaja. Namun jika hakim mendapati kesalahannya berat, hakim boleh menambah sehingga 80 kali sebatan, dan lebih dari 40 sebatan itu dikira sebagai ta'zir , manakala 40 sebatan yang awal adalah hudud.


BOLEHKAH PESALAH TIDAK DISEBAT?


Ia bergantung kepada mazhab mana yang dterima pakai oleh Mahkamah Syariah Malaysia, hakim dan negara Malaysia.

Jika Hudud

Jika kesalahan meminum arak diterima sebagai kesalahan hudud sebagaimana pandangan mazhab Syafie. Pesalah tidak boleh dielak dari hukuman sebat tadi kerana hukuman sebat dikira sebagai hak Allah swt. Hak Allah perlu didahulukan dari sekalian hak makhluk dan sesuatu itu termasuk dalam hak Allah apabila kemudaratannya meluas dan umum, seperti zina, riba, murtad dan sebagainya. Namun pelaksanaan hukuman hudud ke atas seseorang pesalah, boleh ditangguh berdasarkan keperluan tertentu.
Dalam kategori ini, semua pesalah walau kali pertama melakukan kesalahan, akan dihukum kerana mudarat ke atas masyarakat umum.


Jika Ta'zir

Jika kesalahan ini dianggap dari jenis Ta'zir, maka hakim mempunyai kuasa untuk mengampun sama ada atas alasan ia kesalahan kali pertama, ia seorang yang lemah, ia seorang tidak sihat dan sebagainya. Demikian menurut mazhab Syafie.

Justeru, sebelum dikritik keputusan hakim, bincangkan terlebih dahulu mazhab mana yang ingin diikuti di Malaysia, khususnya dalam konteks hukum minum arak ini.


SEJAUH MANA SEBATAN INI ADIL?




Pertama

Jika ia benar-benar hudud dan termasuk dalam hak Allah swt, tidak layak manusia yang hina untuk mempersoalkan tentang keadilan, kerana Allah swt sentiasa adil walau menghumban sesorang manusia ke nerakaNya. Allah tetap adil walau Dialah yang menyesatkan sekumpulan manusia dan memberi hidayat kepada sebahagian yang lain. Kerana apa adil? Kerana piawan adil Allah tidak sama dengan manusia yang dicipta. Keadilan Allah adalah kerana dia yang mencipta kita, dan Dia berhak untuk menentukan apa sahaja yang diinginiNya. Jika kita merasakan Allah tidak adil menyesatkan sekumpulan manusia, maka individu tersebut perlu memulangkan nyawa yang Allah berikan kepada mereka dan beredar dari galaksi ciptaan Allah swt ini ke sebuah alam ciptaan sendiri.



Kedua

Sebatan ini, tidak zalim sama sekali kerana ia bukan bertujuan menyakitkan seperti sebatan ekor pari yang menghakis kulit, daging dan sampai ke tulang. Sebatan ini hanyalah untuk pengajaran, seperti denda cikgu kepada muridnya, ibu kepada anaknya atas tujuan mengajar, atas asas belas kasihan dan bukan dendam kesumat dan ‘geram' memukul.
Hasilnya, pelbagai displin sebatan telah ditentukan dalam hukum Islam iaitu :-

*Tidak boleh dipukul wajah dan kemaluan.
*Alat yang digunakan mestilah tidak besar, bukan tongkat yang besar, ia adalah seperti dahan dan ranting sederhana sahaja.
*Tidak diharuskan si pemukul mengangkat tanganya melebihi paras ketiaknya, atau tidak boleh terlihat bawah lengannya semasa mengangkat pemukul, dan pukulan tidak terlalu menyakitkan, tidak pula terlalu perlahan.
*Yang diangkat adalah sikunya sahaja dan bukan lengan.
*Lelaki disebat secara berdiri, wanita secara duduk.

Adakah jenis pukulan yang sebegini pun dianggap zalim? Jika demikian guru-guru sekolah, ibu bapa, suami memukul, adalah lebih zalim kerana hukumannya tidak dibicarakan di mahkamah.
Bagi saya, jika hukuman sebegini pun masih zalim, tentunya yang menuduh ia zalim itu akan jadi lebih zalim kerana bercakap dan mengkritik tanpa ilmu.


Ketiga

Sejauh mana pula adilnya orang luar seperti Tun Dr Mahathir dan yang lainnya, mempertikaikan hak seorang hakim dalam membuat keputusan?.
Bukankah sang hakim lebih berhak menentukan hukuman yang paling adil disebabkan beliau berada sepanjang sesi perbicaraan dari kedua-dua belah pihak, mendengar pandangan kesemua pembela dan pendakwa. Justeru, adalah TIDAK ADIL bagi orang di luar mahkamah untuk mengkiritk sewenangnya keputusan hakim, sedangkan mereka tidak mempunyai gambaran sebenar di sebalik sesebuah kes. Mungkin sahaja, si pesalah sendiri redha dan ingin hukuman dilaksanakan. Justeru itulah keadilannya.


Keempat

Bukankah keputusan hakim patut dihormati sebagai menunjukkan autoriti badan kehakiman dari sebarang gangguan luar?. Kita kerap mendengar di mahkamah civil bahawa sebarang keputusan mahkamah tidak boleh dikritik terbuka sama ada di dalam mahkamah atau diluarnya, kerana akan termasuk di dalam kesalahan ‘menghina mahkamah' (contempt of court), lalu mengapa pula pihak yang kurang maklumat di luar ini dengan senang dan mudah mengkritik keputusan mahkamah Syariah?.


Kelima

Di dalam Islam, adil atau tidak bukan terletak pada logik aqal manusia semata-mata, namun adil yang sebenarnya adalah melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt dan baginda Nabi s.a.w. Kalau dalam konteks kes ini, pesalah juga telah bersedia menjalani hukuman tersebut sebagai satu proses kesedaran dirinya. Adilkah kita mempersoalkan hak pesalah untuk mendapat hukuman.?






Video Contoh cara sebatan ke atas peminum arak; -