Sebuah Rumah Sekeping Maruah

SEMINGGU lagi tahun baru akan menjelang. Melihat si bongsuku sibuk mengemasi persiapan ke sekolah menengahnya membuat ingat dan kenangku kembali ke masa silam.

Seusia si bongsuku inilah dahulu aku mula mengenal dan mengerti sungguh-sungguh makna maruah, rasa terhina dan erti pengorbanan seorang ibu yang sanggup berkorban demi memastikan seorang anaknya, iaitu diriku, agar dapat meneruskan persekolahan menengahnya seperti anak orang lain di kampungku.
Masih kuingat segala kisah dan peristiwa itu.

Petang itu, aku bersendirian termenung di serambi rumah peninggalan arwah nenek. Sungguh hatiku berasa gusar, gelisah dan sunyi. Terasa diriku ini bagaikan sehelai bulu terlayang-layang dipermainkan hembusan angin ke angkasa. Tiada tempat untuk diri berpijak dan mengadukan untuk nasib.

Itulah yang sedang menggalaui hati serta perasaanku ketika itu. Selepas pemergian nenek, aku benar-benar berasa kehilangan dan sunyi. Syukur masih ada emak. Hanya kepada dialah satu-satunya tempat aku dan adik mengadu serta berteduh kasih.

Mengenangkan hari persekolahan yang semakin hampir, hatiku semakin berasa galau dan gelisah. Sungguh pilu rasanya hatiku bila setiap kali melihat rakan sebaya melewati jalan tanah merah di depan rumahku bersama ayah dan ibu masing-masing. Sungguh riang dan gembira mereka kelihatan. Diiring ayah atau ibu, mereka kulihat berwajah ceria sambil membawa bungkusan berisi buku, beg dan pakaian sekolah yang baru.
Sedangkan aku, anak yang sudah tidak berayah dan baru seminggu kehilangan nenek tersayang ini, hanya mampu memandang mereka dengan mata lesu dan sayu, walau hari hendak ke sekolah baru hanya berbaki lagi seminggu.

Di mana kasut baruku? Mana beg sekolah baruku? Mana basikalku? Bertalu-talu soalan itu menerpa ke benak kecilku.

Beberapa orang rakan rapatku bertanya dan menyapa aku yang bersendirian di serambi itu. Sungguh aku berasa sayu dan malu bila mereka bertanya kenapa aku masih tidak ke bandar seperti mereka membeli keperluan untuk ke sekolah menengahku.

Jauh di sudut hati, kependam dan simpan rasa sayu. Tanya dan sapa mereka hanya kubalas dengan senyum yang lesu. Kerana aku tahu, bagi seorang anak yang kini hanya bergantung hidup dengan tenaga seorang wanita bernama ibu, apalah kemampuan yang kami ada. Malah aku tahu, selain diriku, emak juga perlu mencari wang untuk menyuapi mulut adikku yang kini di darjah lima.

Kerana itulah aku tidak mahu terlalu mendesak emak. Aku tahu dan sedar berapa sangat pendapatan emak dengan hanya tiga keping getah yang ditoreh dari kebun milik orang dan perlu dibahagikan dua pula hasilnya itu.

Walau di dalam hati meronta-ronta hasratku hendak mengajak emak ke bandar membeli segala peralatan sekolahku, namun kerana sedar dan maklum keadaan sebenar hidup kami sekeluarga, kupendam sahaja segalanya hanya di dalam hati.

Tetapi semalam, emak benar-benar membuat hatiku hancur dan luluh diselubungi rasa terharu.
"Hari sekolahmu sudah semakin dekat. Esok emak hendak ke rumah Tok Ngah. Hendak minta pinjam duit. Hendak beli peralatan sekolahmu," begitu usai makan malam kami dengan sepinggan nasi berlaukkan budu yang ditumis dengan minyak kelapa, emak bersuara.

Aku diam dan tunduk. Tiada kata yang dapat kuluahkan selain harap dan pinta di dalam hati agar hasrat dan usaha emak itu berhasil.

Sebagai satu-satunya anak lelaki di dalam keluarga dua beradik kami ini, aku memang bertekad untuk belajar setinggi yang mungkin dan tentunya dengan keputusan yang cemerlang. Niat dan hasratku tidak lain. Semoga nanti, dengan pelajaran yang kumiliki aku boleh merubah nasib keluarga. Aku tidak mahu lagi terus hidup dibelenggu miskin dan hanya mengharap simpati saudara-mara atau sesiapa yang sudi hendak membantu. Aku tidak sanggup berterusan menanggung rasa malu dan hina semata-mata kerana kemiskinan ini.
Aku ingin keluar dari kampung sempit, penuh semak dan gelap ini membawa emak menikmati hidup baru yang lebih baik dan sempurna. Tanpa perlu lagi menjadi habuan cemuh dan cacian saudara-mara, hanya semata-mata kerana kemiskinan kami sekeluarga.

Itulah hasrat dan tekadku. Kerana itulah aku mahu meneruskan sekolahku ke sekolah menengah. Aku ingin belajar setinggi yang mungkin dan setelah itu mendapatkan kerja yang wajar dan berpatutan. Dengan gaji yang kuterima setiap bulan, akan kembali kubina keluarga. Itulah niat dan tekadku.

Senja sudah semakin lanjut dan jauh. Hari kelihatan sudah semakin gelap. Bersendirian di serambi ini, kutunggu kepulangan emak bersama adik dari rumah Tok Ngah. Harapku, semoga pinta dan usaha emak membuahkan hasil. Sungguh. Jauh di sudut hatiku kutahan rasa debar yang berbaur.

Akhirnya emak dan adk yang kutunggu muncul juga. Dari jauh kulihat langkah emak layu dan longlai. Tiba di tangga, emak perlahan-lahan melangkah naik. Dadanya kulihat berombak-ombak.

Melihat wajah murung emak begitu serasa aku dapat menduga apa keputusan dan hasilnya. Walau rasa ingin tahu melonjak-lonjak di dadaku, namun kucuba meredamkannya dengan sabar. Aku tidak mahu terlalu mendesak emak. Biarlah emak duduk seketika untuk melepaskan lenguh dan mengahnya.

Di halaman, di tanah berpasir kulihat beberapa helai daun kering perlahan ditiup angin. Sesekali ke kiri dan sesekali ke kanan. Sesekali helaian daun kering terlambung agak tinggi dan kemudian kembali melayah jatuh ke tanah.
Kudengar emak menghela nafasnya. Jauh, dalam dan lama. Kemudian perlahan-lahan dilepaskan. Berat dan tersekat-sekat. Peluh yang merenek di dahi diseka emak dengan hujung selendangnya yang sudah pun kusam warnanya.

Aku menatap wajah emak ke atas dan ke bawah. Hasratku hendak bertanya cuba kuempang agar tidak terburai sebelum waktunya. Ketika kutoleh ke kiri, tatap mataku bertembung dengan tatap mata emak. Renungan emak kulihat mendung dan teduh. Aku menduga pastilah apa yang kuharapkan tidak seperti yang kuharapkan.

"Bagaimana emak?" akhirnya aku memburaikan juga kesunyian di antara kami. Aku sudah tidak mampu lagi untuk bertahan mengempang rasa ingin tahu yang membuak-buak di dada kecilku ini.
Emak kulihat menggeleng perlahan. Sekali lagi, kudengar sebuah keluhan terhela dari bibir emak.
"Jadi?" aku mendesak emak dengan tanyaku.

"Jadi apa lagi? Jawabnya pastilah tidak," jawab emak. Di kedua-dua belah kelopak mata emak, kulihat ada genangan air jernih.

"Kita memang miskin. Tetapi bukan bererti boleh dihina mereka sesuka hati," kudengar suara emak lagi. Bergetar dan sebak.

"Kalau tidak sudi memberi dan membantu tidak mengapa. Emak akan usahakan di tempat lain. Tetapi kenapa? Kenapa keluarga kita sampai begitu sekali dihina dan dicerca?"
"Oleh siapa?" kini tanyaku pantas mencelah.
"Siapa lagi kalau bukan mereka."
"Tok Ngah?" kudesaki emak dengan tanyaku.
"Semuanya. Semuanya," jawab emak sepatah. Di kedua-dua belah kelopak mata emak kulihat semakin banyak air jernih yang berladung.

Walau hati dan jiwaku terasa membara dan ingin meneruskan tanya, namun niat itu segera kuurungkan bila kulihat emak kini sedang menyeka kedua belah kelopak matanya dengan hujung selendang.

Aku tahu betapa pedih dan tergurisnya hati dan perasaan emak. Aku tahu siapa Tok Ngah yang sebenarnya. Bagiku, Tok Ngah hanyalah tunggul di dalam rumahnya. Tunggul yang hanya akan bertindak dan membuat keputusan kerana suruhan dan perintah isterinya. Bagi Tok Ngah, segala cakap dan kata isterinya adalah cakap dan kata yang sama sekali tidak boleh dibantah.

"Emak tahu siapa diri kita. Miskin tidak berharta. Tetapi kenapa soal keturunan dan asal usul ayahmu turut diungkit serta diumpat," kudengar emak meneruskan bicara. Lamunanku segera terhenti.

Hati kecilku sebagai anak lelaki di dalam keluarga berasa terbakar sungguh mendengar cerita emak itu. Aku dengan Tok Ngah bukan orang lain. Arwah nenek dengan Tok Ngah adalah adik beradik sebapa dan emak pula adalah anak saudaranya. Segala harta kekayaan milik Tok Ngah tidak lain kerana warisannya sebagai anak lelaki dan arwah nenek hanya mendapat bahagiannya secicil cuma kerana demikian pembahagian faraid.
Kejam sungguh Tok Ngah. Tergamak dia bertindak begitu. Emak datang meminta tolong semata-mata kerana hasratku hendak ke sekolah menengah. Aku dengan dia bukannya orang lain. Aku dengan Tok Ngah masih punya pertalian darah yang kental.

Kejam sungguh Tok Ngah! Begitu pekikku di dalam hati dan malam itu aku tidur dengan rasa sebal dan geram yang keredamkan jauh di sudut hati kecilku.

Ketika aku bangun Subuh paginya, kulihat emak masih terbaring di tikar di tengah rumah. Bau minyak angin Cap Kapak menusuk hidungku. Aku sedar beberapa kali semalam mendengar esakan emak. Aku tahu emak dilanda sedih dan pilu. Namun aku terus menyambung tidur kerana tidak mahu menambah rasa serabut dan sayu di hatinya.

"Emak sakit kepala hari ni. Kamu sahajalah yang pergi. Torehlah setakat mana yang mampu," kata emak kepadaku.

Seusai solat Subuh dan memasak apa yang ada di dapur, aku keluar ke serambi menantikan hari semakin cerah. Beberapa orang kampung yang berbasikal menuju ke jalan besar kusapa dengan salam. Melihat ikatan bakul dan raga di belakang basikal mereka aku tahu mereka membawa ketupat dan tapai untuk dijual di pasar Maras. Atau sebahagian mereka pula membawa pisang atau ubi kayu untuk dijual kepada peraih di pasar Batu Enam.

Sebaik-baik sahaja hari semakin cerah, meski keluar bersama pisau toreh dan sebotol air masak sebagai bekalan, aku tidak ke kebun getah. Aku sebaliknya melencongkan arah tujuanku ke rumah Tok Ngah.
Tiba di rumah Tok Ngah, seperti mana selalunya, tanpa dipelawa atau disuruh, aku segera naik dan menuju ke arah isteri Tok Ngah yang sedang menghidangkan makan pagi kepada anak-anaknya.

"Kalau tidak berduit buat apa hendak ke sekolah macam orang lain. Baik duduk sahaja di rumah dan tolong emakmu menoreh. Dapat juga duit buat beli beras," begitu kudengar isteri Tok Ngah bersuara sebaik sahaja aku duduk.

"Tetapi macam mana pun saya hendak sekolah juga. Setidaknya, saya boleh temankan Ba semasa pergi dan pulang," aku menjawab dengan suara perlahan namun tegas. Anaknya yang sebaya denganku dan kubahasakan "Ba" itu menoleh dan merenung ke arahku.

"Betul tak, Ba?" kuajukan tanya kepada Ba. Dengan harapan dia akan membantu dan menyokong diriku. Namun Ba kulihat hanya membatukan diri tanpa sebarang riak dan reaksi.

"Mu jangan buat kira dengan Ba. Dia anak orang berduit. Mu tidak. Emakmu ada harta apa? Makan pun harapkan belas aku dan Tok Ngah mu," tanpa berselindung wanita separuh baya itu menempelak diriku.
Telingaku berdesing. Hatiku terbakar. Namun kerana kenangkan hormat dan sopan, niatku hendak menjawab segera kuurungkan.

"Sedarlah dirimu sikit. Jangan hendak banding dengan orang lain. Ingat, mu anak orang luar. Buatlah cara orang luar," wanita seperuh baya itu melontarkan tempelaknya lagi.

Aku semakin tahu dan sedar pagi ini. Hina sungguh menjadi anak daripada seorang bapa berdarah Jawa. Aku sentiasa dianggap mereka sebagai anak orang luar. Apa lagi bila miskin dan tidak berharta. Bertambahlah hinanya aku di pandangan mata mereka.

Tanpa sebarang jawab atau kata, aku bangkit meninggalkan rumah itu. Meninggalkannya dengan hati tersangat pedih dan luka. Luka hati dan perasaan seorang anak yang berbapakan orang luar!
Ketika kembali tiba di rumah, aku langsung tidak berselindung bila emak bertanya kenapa aku tidak pergi menoreh hari ini. Segala kata cemuh dan hinaan daripada bibir wanita separuh baya isteri Tok Ngah itu kuceritakan kembali kepada emak. Emak hanya tunduk dan menggetap bibirnya ketika mendengar ceritaku.
"Tidak mengapalah. Emak sudah fikirkan masak-masak. Kita tiada cara lain. Demi untuk menghantarmu ke sekolah menengah, emak akan jualkan sahaja rumah kita ini. Kita akan tumpang di rumah lain di Kampung Baru. Ada rumah yang kosong ditinggalkan pemiliknya yang masuk jadi peneroka di Bukit Bading. Emak pemilik itu benarkan kita tumpang tinggal di sana," kata emak.

Aku benar-benar terkedu mendengar kata-kata emak itu.
"Dengan duit itu, selain membeli beras, buku, pakaian sekolah mu dan adik, kita beli sebuah basikal untuk kau berulang ke sekolah di Seberang Takir," kata emak lagi.

Jauh di sudut hati aku berasa sungguh terharu. Begitu sekali pengorbanan emak, semata-mata kerana mahu menghantar aku ke sekolah menengah. Begitu sekali.

Malam itu aku tidur dengan hati dimekari gembira yang tidak terperi. Hasratku hendak ke sekolah menengah termakbul sudah. Malam itu, aku bermimpi di dalam tidur. Di dalam mimpi itu, kulihat diriku sendiri yang sudah besar dan dewasa di sebuah rumah, di sebuah negeri yang jauh. Jauh daripada Tok Ngah dan isterinya. Jauh daripada cemoh dan hinaan mereka.

Di dalam mimpi itu, aku melihat diriku sendiri sedang membesarkan beberapa anak dan malamnya kulihat diriku sendiri di depan sebuah komputer. Aku tahu di dalam mimpiku itu aku bercita-cita mahu menjadi seorang pengarang dan sedang berusaha ke arah itu.

Ketika aku terjaga Subuhnya, terasa aku bagaikan masih terbawa-bawa oleh mimpiku itu.
Perlahan aku mengeluh dan mendesis.

"Demimu emak, aku bertekad dan berjanji. Kepayahan ini akan kutebus setelah besarku nanti. Aku tidak ingin lagi hidup menumpang di tanah orang dan mengharap belas sesiapa," begitu desisku.
"Demimu emak, aku berjanji. Rumah itu akan kutebus kembali. Kerana aku tahu dan sedar, rumah itu adalah simbol maruah kita sekeluarga. Akan kutebus ia kembali. Walau nanti dalam bentuk dan di tempat yang lain!"


Sumber dipetik dari Utusan Malaysia