Perompak Mati Dilanggar Selepas Mencuri


SEORANG pencuri yang melarikan diri bersama tiga lagi rakannya selepas memecah masuk sebuah rumah di Kota Warisan, Sepang semalam terbunuh selepas sebuah kereta yang mengejarnya merempuh motosikal dinaiki.
Menurut polis, kereta itu dipandu oleh seorang lelaki yang ternampak kejadian yang berlaku di rumah jirannya terus mengejar empat suspek berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sepang Supritendan Mohd Yusoff Awang berkata suspek berkenaan maut selepas terjatuh dari motosikalnya akibat rempuhan itu kira-kira pada pukul 10 pagi, menurut The Star Online.
“Suspek meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya berjaya melarikan diri menggunakan motosikal,” katanya.
Menurut beliau, suspek yang mati tidak membawa apa-apa pengenalan diri tetapi dipercayai warganegara Malaysia.
“Siasatan awal mendapati motosikal dinaiki menggunakan nombor plat palsu dan nombor casis juga telah dirosakkan,” katanya.
Pihak polis masih menyiasat apakah barangan yang hilang dari rumah yang menjadi sasaran pencuri berkenaan.
Mohd Yusoff berkata kenyataan pemandu kereta yang merempuh pencuri itu sudah pun direkodkan dan setakat ini tiada tindakan apa-apa yang diambil ke atas pemandu berkenaan. – MYNEWSHUB.MY