Peguam boikot perbicaraan Ikhwanul


KAHERAH - MESIR. Barisan peguam bela bagi 50 pemimpin  dan ahli Ikhwanul Muslimin,  memboikot sesi pertama perbicaraan selepas hakim enggan memperincikan tuduhan bersalah terhadap mereka.

Kesemua mereka dihadapkan ke sebuah mahkamah di Akademi Polis New Cairo selepas didakwa bersalah mendalangi keganasan Ogos lalu di Dataran Rabaa Al-Adawiyah, Bandar Nasr, timur Kaherah.

Sumber perundangan berkata, barisan peguam bela menarik diri sebagai protes selepas salah seorang defendan memberitahu hakim, beliau  tidak dapat mendengar dengan jelas prosiding itu.

“Pasukan pembelaan menuntut mahkamah perincikan setiap pertuduhan namun permintaan ditolak dan hakim meneruskan perbicaraan,” katanya dipetik Al Ahram.

Menurutnya, peguam bela juga menuntut penarikan diri panel hakim juri dan memohon mahkamah lain untuk meneliti kes itu.

Kesemua mereka adalah antara 529 tahanan yang dijatuhi hukuman mati selepas dituduh berkomplot untuk menjatuhkan Perlembagaan bagi menubuhkan kerajaan alternatif dan cubaan menculik Ketua Tentera Abdel Fattah Al-Sisi.

Sinar