Mi jawa Pok Yeh


Mi jawa sampai di meja penulis dalam tempoh lima minit selepas membuat pesanan dan aromanya membangkitkan selera.
Patutlah orang selalu berkata, jika ke Sungai Lembing, jangan lupa singgah makan mi jawa di kedai Pok Yeh. 
Walaupun kedudukan kedai itu 40 kilometer dari bandar Kuantan, ramai sanggup datang semata-mata untuk menikmati keenakan mi jawa walaupun ada menu lain disediakan. 


“Bagi pelanggan, asalkan sedap jarak bukan menjadi penghalang,” itu kata-kata Mohamad Idris Tenan mengapa kedainya menjadi pilihan walaupun ada beberapa gerai lain turut menyajikan mi jawa di pekan Sungai Lembing yang terkenal dengan gelaran El-Dorado Timur.


KUAH mi jawa menjadi penambat selera pelanggan.

Menurutnya, keenakan dan kelazatan mi jawa terletak kepada kuahnya.

“Pekat atau cair, masin, manis atau pedas kuah itu bergantung kepada orang yang menyediakannya.

“Tukang masak seharusnya peka dengan selera dan kehendak pelanggan kerana mereka mahukan yang terbaik.

“Membuat kuah mi jawa tidak sesukar mana, cuma perlu memastikan tidak terlalu lebih atau kurang rempahnya,” katanya.

Ditanya perbezaan mi jawanya dengan yang lain, Mohamad Idris hanya tersenyum sambil berkata, peniaga hanya menggunakan nama ‘Mi Jawa Sungai Lembing’ sebagai daya penarik kepada pelanggan.

“Asli atau tidak rasanya, saya sendiri tidak tahu, tetapi pelanggan yang dapat merasa sendiri perbezaannya,” katanya.

Memang benar kata-kata itu kerana penulis pernah menikmati mi jawa di sebuah gerai di Kuantan, tetapi gagal menyaingi gerai Pok Yeh.

Dalam penyediaan kuah, dia menggunakan campuran bunga lawang, bunga cengkih, kulit kayu manis, lada hitam dan ketumbar.

“Lebih penting, jangan lupa taburkan kacang tumbuk dan daun sup serta sebiji telur rebus sebagai pelengkap hidangan atau cili jeruk untuk kenikmatan luar biasa,” katanya yang menggunakan mi lidi (seperti spageti) untuk hidangan mi jawa.

Menurutnya, dia sendiri menyediakan bahan mentah dan memasak kuah mi jawa bagi mengekalkan keasliannya.

“Bagi saya, kepuasan pelanggan adalah satu penghargaan yang tinggi nilainya,” katanya.

Mohamad Idris mempelajari ilmu memasak mi jawa daripada ibu saudaranya yang dikenali ‘nenek’ hampir 20 tahun lalu yang ­menggunakan resepi warisan keluarganya.

“Ramai yang bertanya mengapa namanya mi jawa. Mudah saya katakan kerana saya berketurunan Jawa dan resepi yang diperoleh ini ­diperturunkan dari ­generasi berasal dari tanah Jawa, Indonesia,” katanya yang dibantu tukang masak, Wan Hawa Wan Mohamad.

Ditanya petua mi jawa itu mencuri tumpuan ramai, Mohamad Idris berkata, dia berserah kepada Allah.

“Saya tidak mempunyai sebarang petua atau rahsia sebaliknya memasak mengikut resipi nenek moyang.

“Saya akan pastikan rempah ratus serta bahan mentah termasuk bawang dan sayur-sayuran berkualiti untuk mengekalkan keenakan,” katanya.


INFO

• Terletak 40 kilometer dari Kuantan

• Pengunjung dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) perlu memasuki persimpangan Tol Kuantan dan belok ke kiri menghala Sungai Lembing

• Dibuka setiap hari mulai jam 9.30 pagi hingga 6 petang

• Menyajikan pelbagai hidangan masakan panas

• Harga mi jawa RM4 hingga RM5 semangkuk