Filem :The Machine angkat kisah robot



FILEM yang berunsurkan robot berwajahkan manusia bukanlah genre baharu yang diangkat dalam karya-karya terutamanya di Hollywood. Apatah lagi, kejayaan filem seperti itu mendorong banyak penerbit dan pengarah untuk menghasilkan sebuah karya menarik yang boleh dijual atau dipertontonkan.

Terbaharu, filem The Machine mengangkat sebuah cerita berkonsepkan robot, namun mempunyai jalan cerita yang lebih menarik. Filem arahan Caradog W. James ini mengisahkan keadaan ketika manusia terpaksa berdepan perang dingin, Kementerian Pertahanan Britain sudah mencipta senjata baharu sebagai persiapan menentang musuh.

Saintis Vincent McCarthy (Toby Stephens) menawarkan ciptaan terbaharunya yang digelar The Machine kepada kementerian sebagai penyelesaian kepada perang itu.

The Machine adalah sejenis robot canggih menyerupai manusia yang tiada tandingan kerana memiliki kekuatan serta kelajuan luar biasa.

Bagaimanapun, ketika projek itu hampir selesai, berlaku serangan virus terhadap program robot terbabit menyebabkan ia bertindak luar kawalan seterusnya memusnahkan makmal termasuk manusia yang cuba menghalangnya.

Mengetepikan masalah itu, McCarthy seterusnya bekerjasama dengan pakar kepintaran buatan untuk mengasah potensi robot terbabit menjadi mesin pemusnah yang hebat.

Pertemuan McCarthy dengan seorang saintis muda, Ava memberi sinar untuknya meneruskan projek terbabit. Namun, Ava dibunuh dalam satu serangan dan menyebabkan Ava mati.

Bagi meneruskan kajiannya, McCharthy mencipta semula Ava sebagai robot, namun tindak balas Ava yang berlainan dari robot sedia ada menarik perhatian McCharthy.

Menampilkan Toby Stephens, Caity Lotz, Denis Lawson dan Sam Hazeldine sebagai barisan pelakonnya, filem The Machine berjaya meraih tujuh trofi tahun lalu opa majlis Penganugerahan BAFTA, British Independent Film Awards, Raindance Film Festival dan Toronto After Dark Film Festival.


Di sebalik kegelapan

Pada pandangan penulis, biarpun pergerakan plot filem ini sedikit perlahan, namun metafora James dalam filem ini iaitu beberapa reaksi tanpa dialog dan kegelapan seharusnya difahami oleh setiap penonton.

Contohnya lokasi pembinaan robot iaitu di dalam sebuah kawasan yang gelap dan suram serta berada di bawah tanah. Kegelapan itu juga sebenarnya memberi metafora pada 'kegelapan' watak antagonis di dalam filem ini yang sebenarnya mempunyai agenda lain iaitu melatih setiap robot untuk menjadi pembunuh.

Namun, berlainan dengan Ava, dia tidak terlalu bergantung dengan perisian yang dimasukkan ke dalam 'otaknya' kerana dia mempunyai sifat hampir sama dengan manusia.


Nilai kemanusiaan

Sifat kemanusiaan inilah yang menarik perhatian penulis di mana, teknologi yang digunakan di dalam filem ini belum lagi wujud pada masa kini. Apatah lagi, kelebihan Ava yang mempunyai perasaan pada McCharthy menimbulkan sedikit kelucuan dan dalam masa yang sama menimbulkan rasa simpati kepada mereka yang melihat Ava.

Bagi yang ingin menonton filem ini, ingin penulis ingatkan The Machine bukanlah sebuah filem yang sarat dengan aksi sebaliknya mempunyai jalan cerita menarik untuk difahami.

Dengan kebanyakan babak tanpa dialog, ia sudah cukup menterjemahkan setiap emosi yang terpendam antara seorang manusia dan robot.