BN tak senang selagi Anwar bebas – Saifuddin


KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) memang tidak akan senang selagi Datuk Seri Anwar Ibrahim masih bebas dan belum dimasukkan ke dalam penjara.
Malah BN seperti takut melihat Anwar yang disifatkan sebagai ancaman paling besar yang mampu menamatkan riwayat pemerintahan parti itu setelah sekian lama menerajui negara.
Itu tegas Ketua Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Saifuddin Nasution ketika menyampaikan ceramah di Karnival 60 Tahun Pas Johor di Parit Tarom, Muar malam tadi.
“Anwar memang sentiasa digeruni pemimpin BN yang tidak berdaya menahan kehadiran rakyat pada setiap ceamah yang diadakan Ketua Umum PKR itu tidak kira di mana.
“Mereka (BN) akan sentiasa dalam keadaan ‘tidur tak lena’ selagi karier politik Anwar tidak dimatikan kerana bimbang rakyat akan semakin ramai menolak kerajaan,” katanya.
Sambil menyifat kes liwat yang sudah 16 tahun masih berjalan tanpa noktah sebagai fitnah, Saifuddin menjelaskan, apa juga usaha BN untuk menjatuhkan Anwar tidak akan melunturkan semangat rakyat untuk bangkit menentang kerajaan.
“Lihatlah keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu. Bagaimana Anwar dapat ‘mengubah’ jutaan rakyat supaya menolak BN.
“Keadaan sekarang memang sudah nampak jelas bahawa sokongan terhadap pakatan pembangkang kini semakin meningkat dan hakikat itu tidak boleh dinafikan pemimpin BN.
“BN jangan fikir sudah selamat kalau Anwar dimasukkan ke dalam penjara kerana keadaan akan menjadi lebih tegang lagi dengan kebangkitan rakyat menentang ketidakadilan kerajaan,” katanya.
Tambah Saifuddin, gabungan parti komponen pakatan pembangkang kini semakin rapat dan kukuh untuk terus memperjuangkan hak rakyat .
“PKR, Pas dan DAP tetap bersatu sampai bila-bila. Para pemimpin BN cubalah buat propaganda untuk melaga-lagakan kami menggunakan media kerajaan tetapi perlu diingat bahawa usaha mereka melihat kami berpecah belah tidak akan berhasil malah ikatan kami semakin teguh untuk menjatuhkan BN,” tegasnya. – MalaysiaGazette