Helah jurujual ajak pelanggan lalu ikut tangga



Kajang: Hasrat seorang wanita untuk membeli alat ganti komputer terbantut apabila dia mengalami detik memalukan apabila diraba seorang jurujual yang kononnya mahu menunjukkan tempat barangan itu dalam kejadian di tangga sebuah kompleks beli-belah, di Bandar Baru Bangi, di sini, semalam. Sebelum kejadian jam 10.45 pagi itu, mangsa berusia 25 tahun itu pergi ke premis menjual alat ganti komputer berkenaan untuk mencari alat ganti komputernya yang rosak.
Sumber berkata, bagaimanapun barang yang dicarinya itu tiada di premis itu sebelum dia didatangi seorang lelaki berusia 20 tahun yang juga bekerja sebagai jurujual di premis bersebelahan.
Lelaki itu menawarkan khidmat memberi bantuan kepada mangsa dan memberitahu alat ganti itu ada dijual di premis lain.
Mangsa diminta mengikut lelaki itu menggunakan laluan tangga kononnya untuk pergi ke premis yang dikatakannya. Bagaimanapun, mangsa terkejut apabila lelaki itu mengangkat skirt mangsa sebelum meraba kemaluannya.
Perbuatan itu menyebabkan mangsa menjerit sekuat hati sebelum lelaki terbabit segera melarikan diri. Orang ramai yang mendengar jeritan itu segera membantu mangsa sebelum membawa mangsa ke pejabat pengawal keselamatan,” katanya.
Menurut sumber, mangsa dan beberapa orang awam yang membantunya melihat semula kejadian memalukan itu dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat pengawal keselamatan berkenaan.
Katanya, selepas itu, beberapa orang awam dan pengawal keselamatan kompleks beli-belah berkenaan mencari lelaki terbabit dan menemuinya yang masih berada dalam kompleks itu sebelum menangkapnya.
Lelaki itu dihantar ke balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki kerugian sebuah Samsung Galaxy Tab bernilai kira-kira RM1,000 serta jam tangan dan wang tunai RM70 apabila disamun seorang lelaki menyamar polis.
Sumber berkata, dalam kejadian Isnin lalu itu, mangsa berusia 22 tahun itu ditahan oleh lelaki itu berhampiran Bulatan Bandar Baru Bangi, di sini, sebelum dia merampas semua barangan berharga milik mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab, mengesahkan laporan kejadian wanita terbabit.