Menghadapi Telatah si Kecil sewaktu solat..



Bismillahirahmanirrahim..
Bagaimana kita menghadapi situasi anak kecil yang nakal sewaktu kita ingin solat??
Tentu ramai yang marah apabila anak kecil kita bermain ketika kita sedang solat kan. Ada pula yang menghentikan solatnya dan mendirikan solat yg baru malah terdapat juga yang sampai memukul anaknya itu.

Tahukah anda bahawa Baginda SAW pernah mengalami perkara yang sama? Jom tengok hadith di bawah ni tentang cara nabi SAW mengatasinya;

1. Daripada Abu Qatadah katanya:
“Bahawa Nabi SAW solat, sedang cucunya Umamah puteri Zainab (iaitu anak perempuan Nabi SAW) berada di atas belakangnya. Apabila nabi SAW rukuk, diletakkan cucunya itu. Dan apabila Baginda berdiri daripada sujud, diambilnya pula dan diletakkannya kembali di atas belakangnya semula.”
Kata Amir:
“Saya tidak menanyakan solat apa yang dilakukan ketika itu.” Sebaliknya Ibnu Juraij berkata: ”Saya diberitahu oleh Zaid bin Abu I`tab daripada `Umar bin Sulaim, bahawa itu adalah solat Subuh.” (HR Ahmad dan Nasa’i)

2. Daripada Abdullah bin Syidad daripada ayahnya katanya:
“Pada suatu ketika Rasulullah SAW keluar untuk solat siang, Zuhur atau Asar. Baginda membawa cucunya, Hasan dan Husein, lalu maju ke hadapan dan cucunya itu diletakkannya, kemudian mengangkat takbir (untuk solat). Seterusnya, Baginda pun sujud dan sujud itu sangat lama sekali hingga aku terangkat kepalaku. Rupa-rupanya aku lihat cucu Baginda itu berada di atas belakang Rasulullah SAW, maka aku pun kembali sujud.
Setelah selesai solat, para jemaah di belakang bertanya: ”Ya Rasulullah, tadi sangat lama sekali anda sujud hingga kami sangka telah berlaku sesuatu atau mungkin wahyu sedang diturunkan.”
Ujar Baginda SAW: Semua itu tidak berlaku melainkan ketika itu cucuku ini berada di atas belakangku dan aku tidak mahu mengganggunya hingga dia merasa puas bermain.” (HR Ahmad, Nasa’i dan Hakim)

Nah, adakah nabi SAW memarahi atau memukul cucu-cucunya itu?
adakah nabi memberhentikan solatnya dan mengerjakan solat yang baru?

Lihatlah akhlak terpuji nabi SAW melayani kanak-kanak, hatta dalam solat sekalipun Baginda tetap meraikan telatah mereka itu..Semoga kita menjadi ibu bapa yang mithali kepada anak-anak yg soleh-solehah =)    


1 comments so far