Gugur iman jika sengaja tinggalkan solat


NABI Muhammad SAW pernah ditanya apakah Islam, lantas Baginda menjawab:
“Islam itu dibangunkan atas lima perkara, syahadah bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa pada bulan Ramadan dan haji ke rumah Allah (Baitullah).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Tidak seperti ibadat lain, kewajipan solat diwahyukan terus kepada Nabi Muhammad SAW pada malam berlakunya peristiwa Israk Mikraj tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril sebagaimana dijelaskan oleh Malik bin Anas: Pada malam Israk difardukan kepada Nabi SAW solat sebanyak 50 kali, kemudian dikurangkan hingga lima kali (sehari) kemudian diseru (oleh Allah), “Wahai Muhammad! Sesungguhnya ketetapan-Ku tidak akan diubah. Dan bagimu dengan solat lima kali (sehari) akan mendapatkan pahala sebanyak solat lima puluh kali.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)
Ini menunjukkan keagungan dan keistimewaan ibadat solat melebihi ibadat lain. Solat juga adalah tiang asas bagi agama Islam dan jika tiang itu runtuh maka runtuhlah segala-galanya berkaitan agama.
Begitulah tingginya martabat ibadat solat di sisi Islam. Tidak menghairankan jika perkara yang mula dihisab pada hari akhirat nanti adalah solat. Jika seseorang itu tidak bersolat, maka sia-sialah segala amal ibadatnya yang lain.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya yang pertama kali dihisab bagi seseorang hamba di hari kiamat daripada amalnya ialah solatnya, jika solatnya itu adalah baik maka dia termasuk dalam orang yang bahagia lagi beruntung dan jika amal solatnya rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)
Oleh itu, umat Islam perlu memberi perhatian tinggi terhadap kesempurnaan ibadat solat kerana implikasinya terhadap diri kita begitu besar. Namun, sayang seribu kali sayang, masih ramai kalangan umat Islam melalaikan solat.
Ulama berbeza pendapat mengenai hukum mereka yang meninggalkan solat secara sengaja. Golongan pertama berpendapat meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai tanpa mengingkari akan kewajipannya, maka mereka tergolong dalam golongan yang fasik (melakukan dosa besar) tetapi tidak kafir.
Bagi mereka yang meninggalkan solat secara sengaja dan menolak akan kewajipannya, maka mereka adalah kafir. Golongan ini berpendapat semua bentuk kesalahan di atas muka bumi ini masih boleh diampunkan oleh Allah kecuali dosa syirik.
Ini seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang menyekutukan-Nya dengan sesuatu, dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan hukum-Nya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa juga), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah al-Nisaa’, ayat 116)
Golongan kedua berpendapat mereka yang meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai, baik dia mengakui kewajipan solat atau tidak, semua mereka ini termasuk dalam golongan kafir dan terkeluar daripada Islam. Mereka ini hendaklah bertaubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah semula.
Ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang sahih secara jelas menunjukkan ibadat solat adalah penentu keimanan seseorang. Meninggalkan solat dengan sengaja boleh menyebabkan pelaku gugur keimanannya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Patutkah Kami (berlaku tidak adil, dengan) menjadikan orang Islam (yang taat), sama seperti orang yang berdosa (yang kufur ingkar)? Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang salahnya itu)? Adakah kamu mempunyai sesebuah Kitab (dari Allah) yang kamu baca dan pelajari? Bahawa di dalam Kitab itu membolehkan kamu mendapat apa saja yang kamu pilih? Atau adakah kamu mendapat akuan yang ditegaskan dengan sumpah daripada Kami, yang tetap hingga hari kiamat, menentukan bahawa kamu dapat mencapai apa yang kamu putuskan? Bertanyalah kepada mereka: Siapakah orangnya di antara mereka yang menjamin benarnya hukum: bahawa mereka akan mendapat di akhirat apa yang didapati oleh orang Islam? Atau adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu (yang sefaham dengan mereka? (Jika ada) maka hendaklah mereka membawanya, jika betul mereka orang yang benar. (Ingatkan orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat), dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya, Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat.” (Surah al-Qalam, ayat 35-43)
Allah memulakan ayat itu dengan menyanggah mereka yang menyamakan taraf hamba-Nya yang taat kepada perintah-Nya dengan mereka yang ingkar atau kafir. Kemudian Allah menggambarkan keadaan huru-hara di alam akhirat dan Allah memerintahkan hamba-Nya sujud menyembah-Nya.
Namun, bagi mereka yang dulunya di dunia tidak bersujud (bersolat) kepada Allah secara sengaja tanpa uzur, mereka tidak mampu untuk bersujud kepada-Nya berserta orang Islam lain. Ini menunjukkan mereka itu termasuk golongan orang kafir dan munafik yang mana ketika semua umat Islam bersujud kepada Allah, mereka enggan kerana tidak mampu.
Andai kata mereka termasuk di kalangan orang Islam, tentu mereka mampu bersujud kepada-Nya di alam akhirat kelak. Beginilah hinanya mereka yang tidak mengerjakan solat ketika kehidupan di dunia ini.
Ancaman mengenai kafirnya mereka yang meninggalkan solat secara sengaja pernah disuarakan Nabi SAW seperti sabdanya yang bermaksud:
“Perjanjian di antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, dan barang siapa meninggalkan solat sesungguhnya dia telah menjadi seorang kafir.” (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)
Sabda Baginda SAW lagi:
“Sesungguhnya yang memisahkan antara seseorang dengan kesyirikan dan kekufuran dengan meninggalkan solat.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Jelas kedua hadis itu menunjukkan bahawa mereka yang meninggalkan solat kafir atau gugur keimanannya. Pada akhirat kelak mereka akan diletakkan bersama Qarun, Haman, Fir’aun dan Ubai bin Khalf .
Daripada Nabi SAW bahawa pada suatu hari Baginda memperingatkan mengenai solat maka Baginda bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang memeliharanya (yakni solat), maka dia akan memperoleh cahaya, bukti keterangan dan kebebasan di hari kiamat. Dan bagi mereka yang tidak mengendahkannya (yakni solat), maka dia tidak akan memperoleh cahaya, bukti keterangan dan kebebasan, sedang di hari kiamat dia akan bersama Qarun, Fir’aun, Haman dan Ubai bin Khalf.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Apa kaitannya Qarun, Haman, Fir’aun dan Ubai bin Khalf dengan mereka yang meninggalkan solat? Kebiasaannya mereka yang meninggalkan solat terdiri daripada mereka yang terlalu sibuk menguruskan harta, kerajaan, kekuasaan dan perniagaannya.
Menurut Syaikh Sayyid Sabiq:
“Maka orang yang bimbang dengan harta, dia akan senasib dengan Qarun, dan yang sibuk menguruskan kerajaan, dia akan bersama Haman dan sesiapa yang terpedaya oleh kebesaran dan urusan pemerintahan dia akan ditemankan oleh Fir’aun, sedangkan orang yang bimbang menguruskan perniagaan maka dia akan berada bersama Ubai bin Khalf.” (Syaikh Sayyid Sabiq Fikih Sunnah)
Menurut Imam al-Syafie, “Barang siapa yang meninggalkan solat wajib sementara dia Muslim, maka dia harus ditanya: Mengapa kamu tidak bersolat? Jika dia menjawab: Saya terlupa. Maka katakanlah: Solatlah engkau ketika sudah ingat. Jika dia menjawab: Kerana saya sakit. Maka katakanlah kepadanya: Solatlah semampumu; berdiri, duduk atau berbaring atau dengan isyarat. Apabila dia menjawab: Saya mampu untuk bersolat, tetapi saya tidak solat dan saya akui solat itu wajib hukumnya. Maka katakanlah kepadanya: Solat itu adalah amal yang tidak boleh diwakilkan kepada yang lain. Ia wajib dikerjakan oleh kamu oleh itu bertaubatlah. Jika tidak kami akan membunuhmu.” (Manhaj Aqidah Imam Asy-Syafi’i karya Dr Muhammad A W al-Aqil)
Namun begitu, hukuman bunuh hanya boleh dilaksanakan oleh penguasa Muslim yang sah di sesebuah negara melalui proses kehakiman. Beginilah seriusnya hukum terhadap mereka yang meninggalkan solat secara sengaja.
Ketahuilah bahawa solat itu wajib ‘ain dan tiada yang terkecuali darinya walaupun sebesar mana kedudukannya di dunia ini dan pada mata masyarakat.

Wassalam


Source..........