PRA PERKAHWINAN



PRA PERKAHWINAN

Sebelum satu demi satu langkah diatur untuk memperkatakan tentang mengertikan Islam di dalam sebuah perkahwinan dan rumahtangga, adalah amat perlu untuk setiap anak muda, meneliti bezanya di antara cinta dan CINTA.

i. Cinta vs. CINTA

Saya tidak bermaksud untuk memperkatakan tentang CINTA sebagai CINTA ILAHI kerana hal mengenainya telah pun diperkatakan di dalam ruangnya yang khusus. Namun saya tumpukan perhatian kepada menyedarkan setiap anak muda yang sedang atau merancang untuk berpasangan agar meneliti, apakah perasaan mahu berpasangan itu terbit dari cinta kecil atau cinta sebenar.

Cinta kecil itu, adalah kekeliruan perasaan yang terbit dari keinginan untuk diberi perhatian, mahu dikasihi dan mengasihi, emosi yang kosong dari asas, matlamat, dan kesedaran terhadap implikasi cinta jenis ini. Tidak keterlaluan jika saya katakan, cinta seorang anak kecil kepada kura-kura peliharaannya lebih mulia dari cinta keliru ini, kerana sekurangnya si anak kecil itu akan memberi makan, berbual dan membersihkan akuarium kura-kuranya, sedangkan cinta keliru antara dua anak muda ini tanpa mereka sedar hanyalah sekadar untuk melayan gangguan emosi yang sunyi barangkali… juga tanpa sedar kedua-duanya sedang merancang untuk saling merosakkan di antara satu sama lain.

CINTA sebenar itu harus terbit dari emosi dan naluri fitrah manusia… namun ia lahir juga dengan sandaran rasional dan sedar diri terhadap asas cinta itu, tanggungjawab yang mengiringi cinta tersebut serta kesan yang bakal lahir dari mematerialisasikan perasaan cinta seperti ini. Cinta yang ada ‘sense of begin with the end in mind‘.


ii. Memilih Masa Yang Sesuai
“Jangan mengambil langkah untuk berpasangan, jika sudah pasti dalam setahun dua jangka masa terdekat ini tiada kemungkinan untuk anda berkahwin!”, itu amaran saya kepada peserta.
Wajah peserta mula kelat.
Saya telah jelaskan secara panjang lebar tentang soal kesan fitrah daripada perhubungan jangka panjang di dalam dan di luar perkahwinan di dalam artikel MENGURUSKAN FIKIRAN TENTANG PERKAHWINAN. Hubungan seorang lelaki dan perempuan lazim dihinggapi rasa jemu yang mencabar komitmen kita kepada hubungan itu. Perasaan jemu itu mungkin muncul di tahun ketiga perhubungan, mungkin juga di tahun keempat, malah kelima pun bisa.
Jika perasaan ini muncul di dalam sebuah perhubungan yang telah diikat atas nama sebuah perkahwinan, maka suami dan isteri akan belajar melayarkan bahtera rumahtangganya buat seketika, dengan kesedaran terhadap tanggungjawab… tatkala perasaan cinta itu pudar seketika. Ia adalah kesan biasa daripada sebuah perhubungan… dan selepas ujian ini berjaya dilepasi oleh seorang suami dan isteri, maka Insya Allah cinta yang mekar kembali itu akan menjadi cinta yang kekal kukuh hingga ke akhir usia.
Tetapi jika proses itu berlaku lantaran cinta panjang lebar dari zaman cinta monyet hingga monyet menjadi gorila, maka tidak mustahil untuk kekasih anda akan tiba-tiba memberikan signal untuk menamatkan hubungan yang terbina selama ini! Banyak alasan yang boleh diguna pakai…
“Saya mahu mendekatkan diri kepada Allah”
“Saya mahu tumpukan perhatian kepada pelajaran yang begitu membebankan sekarang ini”
“Saya rasa kita sudah tidak ada keserasian lagi”
Hakikatnya semua itu adalah alasan yang dibuat sedangkan sebab sebenarnya ialah “saya sudah jemu dengan awak!”. Itu sahaja!

Maka jika ibu bapa sudah memberi amaran bahawa perkahwinan adalah persoalan yang tiada ruang perbincangan hingga tergenggam ijazah di dalam tangan, maka hindarkanlah dari perbuatan menyeksa diri dengan mencari cinta di alam matrikulasi, atau tahun pra klinikal bagi pelajar perubatan kerana anda mencari risiko yang amat membebankan.

“Ustaz… habislah saya macam ini… saya sudah bertunang. Kami merancang untuk berkahwin mungkin dalam empat atau lima tahun lagi!”, seorang peserta berjumpa dengan saya dengan wajah panik selepas ceramah berakhir.

“Sabar… apa yang ustaz sebutkan tadi, bukannya ketetapan nas. Tetapi ia adalah pengamatan kepada pengalaman dan pembacaan. Pengalaman pelbagai pihak yang memberitahu semua itu. Jika anta sudah ada idea mengenai cabaran ini, maka buatlah persediaan sebaik-baiknya. Bersederhana dalam berhubung, jangan bergayut telefon sampai lepas kahwin dah tak tahu nak sembang apa… dan bijakkan diri dalam mengekalkan kesungguhan masing-masing menuju perkahwinan. Dan jangan pandang belakang!”, saya tersenyum.

“Ada hantu ke ustaz?”, tanya beliau.
“Kalau hantu Alhamdulillah. Tapi masalahnya anta mungkin akan nampak bidadari… bidadari lain untuk menambah options!”, saya bergurau.

“Faham, faham!”, katanya sambil mengurut dada. Lega barangkali.

iii. Kesan Perhubungan
Di peringkat pra perkahwinan ini juga, kita harus beringat terhadap kesan tindak tanduk untuk jangka masa yang panjang. Ketika mahu ber’couple’, keluar tengok wayang bersama, merosakkan anak dara dan teruna orang lain… fikirkan dengan sense of begin with the end in mind.
Hidup sementara wahai sahabat…

Namun kesan amalan kekal selamanya.

Sama ada ia menjadi kebaikan yang memberikan kesejahteraan yang berkekalan pada kehidupan di alam Sana, atau dosa yang menempa bencana dan seksa di neraka Allah yang Murka. Fikirkan dosa dan pahala. Fikirkan Syurga dan Neraka. Bahawa setiap sentuhan tanganmu ke atas kulit pasangan yang kamu ghairahkan itu… ada api yang akan merentungkannya. Rentung yang tidak mati, tetapi rentung yang mengekalkan derita dan seksa.

Sebelum kamu sentuh seorang perempuan yang kamu angkat sebagai bidadari hidupmu itu tanpa ikatan sah yang menghalalkannya, fikirkan kembali sakitnya ibu perempuan itu mengeluarkannya dari perut bersabung nyawa. Sanggup merisikokan mati, demi melahirkan seorang anak perempuan yang suci bagai kain putih, dan hari ini kamu yang muncul tiba-tiba dalam hidupnya itu, mahu mencemarkan perempuan itu?!

Tergamak kamu?

Teruskan… jika kalian cukup macho untuk membuktikan diri kalian memang tidak pernah peduli pada perasaan ibu bapa yang membawa kalian datang ke kehidupan ini. Pada kesakitan dan derita mereka, pada usaha mereka memilih pakaian, makan, ubat, rumah dan pelajaran yang terbaik selama ini… kerana nafsu kalian adalah satu-satunya yang terpenting di tika dan saat ini.

Ya, jika buayafriend dan gelifriend itu sudah berjaya membuktikan bahawa mereka saling tidak takut kepada Allah, terimalah neraka dunia sebelum Neraka Akhirat.

Allah akan menghukum mereka yang tidak endah kepada dosa di era pra perkahwinan, dengan hukuman perasaan. Perasaan syak wasangka dan sulit membina rasa percaya selepas berumahtangga.

“Jika dengan aku dulu dia tergamak berzina dan berbuat dosa, apa yang menghalangnya untuk berzina dengan orang lain”, syak seorang isteri, bekas pelaku dosa, ketika suaminya so-called out station.

“Jika dengan aku dulu dia selamba badak pegang sana pegang sini, apa yang boleh menjamin dia menjaga rumahku dan maruah dirinya dari lelaki lain?”, syak seorang suami, bekas pelaku dosa, ketika jauh di tempat kerja meninggalkan isteri di rumah sana.
Tanpa rasa percaya dan hidup dalam prasangka, ‘nikmatilah’ sebuah derita yang tidak berkesudahan… kesan masing-masing sudah berjaya membuktikan bahawa mereka berdua memang tidak gentar dan tidak pernah peduli dengan Allah dan amaran-Nya suatu ketika dahulu.

Fikirkan… don’t begin if that is the end in your mind!

Belajarlah bersusah payah mengekang nafsu… kerana susah payah itulah bekal bahagia. Bukti yang terpisahnya suami dari seorang isteri lantaran kerja, tidak menimbulkan prasangka apa-apa kerana kedua-duanya saling mengikat diri kepada Allah, Tuhan yang disembah di tempat kerja, dan yang disembah di kediaman sana. Bertemu tidak jemu berpisah tidak gelisah…!

Belajarlah semasa ini, untuk saling membuktikan yang kita memang peduli kepada Allah yang Maha Kuasa, kerana hanya dengan Allah sahaja kita mampu untuk terus saling percaya mempercayai. Dia rujukan kita. Kita tidak membelakangkan Dia.

iv. Jangan Berkahwin Sekadar Untuk Mendapatkan Sijil Halal

Seterusnya saya mengingatkan setiap peserta, agar tidak memberikan alasan “saya kena kahwin segera ustaz, takut terjebak ke benda-benda yang haram”.

Seorang di Southampton, seorang lagi di Dublin… tiba-tiba memberi alasan takut ‘terzina’???
Untuk pasangan ini berzina, si lelaki itu perlu menempah tiket dari halaman web Ryanair.Com, kemudian mengemas beg dan mengambil bas dari Grafton Street ke Dublin Airport, check in, menaiki pesawat, terbang satu jam menyeberangi Irish Sea, mendarat di Bournemouth Airport, melalui imigresen, mengambil beg, menaiki bas ke bandar Southampton dan akhirnya berzina!!!

Ini bukan kes takut terzina, tetapi kes memang ‘berjihad untuk berzina’ malah ketagih zina dan lupa diri. Sewajarnya saya melayangkan barang sebutir dua pelempangkepada orang seperti ini agar bangkit dan sedar dari alasannya “saya kena kahwin segera sebab takut terzina”.

Lainlah jika masing-masing belajar di universiti yang sama, di kelas yang sama, hari-hari bertemu dan yang tinggal hanya ‘to be or not to be‘!

Itu pun, saya masih berasa tidak wajar untuk seseorang itu membuat keputusan berkahwin hanya sekadar untuk mendapatkan Sijil Halal! Kahwin kerana takut zina, seolah-olah itu sahaja yang ada di mindanya tentang makna perkahwinan. Tidakkah dia sedar bahawa cabaran tanggungjawab selepas berkahwin adalah jauh lebih besar dan sulit dari sekadar cabaran menolak zina?
Jangan buktikan yang jati dirimu selemah itu. Jika menolak zina sudah sampai mencetuskan porak peranda hidupmu, di manakah kejantananmu untuk memimpin isteri dan anak-anak?

v. Jangan Berkahwin Tanpa Persetujuan dan Pengetahuan Ibu Bapa
Ruang untuk membelakangkan ibu bapa itu memang ada. Baik lelaki mahu pun yang perempuan.
Malah bagi si lelaki, hukum fiqh tidak pun meminta dirinya mendapatkan persetujuan ibu bapa.
Tetapi perkahwinan bukan sekadar soal hukum fiqh, bukan sekadar sah tidak sah akad yang dihenjut.
Setelah bertahun saya dan Ummu Saif berumahtangga, nasihat seorang ibu dan seorang bapa kepada kami tetap penting, berharga dan sering diminta untuk mengatur perkahwinan dan rumahtangga. Itu soal nasihat yang diberi dan diminta. Belum lagi dikira titis air mata ibu bapa di atas sejadah berdoa memohon kepada Allah agar memakmurkan perkahwinan dan rumahtangga anak-anak mereka. Berapa tinggi doa itu memanjat langit?!

Restu ibu bapa…
Lebih besar dan agung dari segala motivasi dan rawatan kaunseling yang ada di alam maya ini. Maka janganlah sekali-kali disingkirkan restu ibu bapa daripada sebuah perkahwinan yang ingin dibina.
Itu soal restu.
Pasangan yang berkahwin tanpa pengetahuan ibu bapa juga harus beringat, bahawa kalian adalah darah daging mereka. Tanpa diberitahu, seorang bapa apatah lagi seorang ibu, begitu mudah untuk merasakan sesuatu tentang anak mereka. Alangkah sakit selsema pun boleh meresahkan mereka di hujung benua, apatah lagi jika si anak yang begitu tergamak berkahwin dengan membelakangkan kedua ibu bapa.
Nanti ibu bapa akan bertanya, “kamu ni dah kahwin ke?”
Mahu dijawab apa?
“Err… mana ada mak, ayah. Bukankah saya dah bersetuju untuk berkahwin selepasgraduate nanti!”, jawab si ‘pengantin lelaki misteri itu’.
Ahh, kamu sudah menafikan perkahwinan kamu. Kamu tidak sedar yang kamu telah membuat suatu kenyataan bahawa isteri yang telah kamu nikahi itu, bukan isterimu.
Apa ertinya semua ini?
Saya khuatir penafian itu boleh mengheret perkahwinan kepada tanpa sedar, kamu telah mentalaqkan isterimu dengan talaq kinayah!
Apakah talaq kinayah itu?
Iaitulah ucapan-ucapan yang mengandungi maksud menidakkan perkahwinan dan membatalkannya, namun dilafazkan secara tidak terang justeru menuntut penjelasan.
Apatah lagi ucapan itu dibuat ala-ala Jamil dalam kisah Madu Tiga.

“Sumpah, Wallah… Tipah tu bukan lagi isteri abang!”
Mungkin dan berkemungkinan besar tidaklah jatuh talaq itu jika anda menafikan perkahwinan anda di depan ibu bapa. Tetapi berapa kali anda mahu menipu, dan berapa lama anda tahan hidup dalam pendustaan. Bukan mendustakan rakan, tetapi ibu bapa sendiri!
Janganlah diheret perkahwinan kepada situasi seperti ini. Di mana redha Allah, di mana redha ibu bapa?
Mengapa tidak kalian mujahadah sahaja…

Puasa…
Sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti berorganisasi… dakwah, kemanusiaan, kemasyarakatan…
“Statiknya air akan merosakkannya, statiknya pemuda (dengan banyaknya masa lapang dia) akan membunuh dirinya” – PepatahArab
Jika anda tetap berada di dalam suatu keadaan yang hanya perkahwinan jalan penyelesaiannya, maka bawalah berbincang dengan baik. Buktikan yang anda sudah cukup dewasa untuk berumahtangga dengan mengambil langkah berdiskusi dengan ibu bapa secara dewasa, atau mungkin juga dengan meminta bantuan orang tengah yang boleh membantu kepada rundingan.
Dan sudah tentu di satu sudut yang lain, ibu bapa juga haruslah tidak terlalu mengikut perasaan hingga tidak rasional. Berusahalah untuk mempertimbangkan dengan baik keadaan anak-anak dan membuat keputusan untuk kebaikan anak-anak itu yang hidup mereka penuh cabaran itu, dan bukan sekadar memberikan alasan-alasan “takut kehilangan anak”, “belum puas membesarkannya” dan lain-lain alasan yang berisiko tinggi itu.
Jujurnya, saya melihat kebanyakan mereka yang berkahwin semasa belajar dapat mengekalkan prestasi pengajian, malah ada yang bertambah cemerlang. Hanya segelintir yang kecundang… dan akan saya perkatakan di sambungan bicara ini di peringkat perkahwinan yang seterusnya, Insya Allah

Fikirkan semua ini supaya anda berCINTA dan bukan bermain cinta.

<<<>>>